Kutipan kasar cukai langsung Pulau Pinang 2019 meningkat – Pengarah LHDN

Admin

GEORGE TOWN – Jumlah kutipan kasar cukai langsung bagi negeri Pulau Pinang tahun ini oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkat berbanding tahun lalu.

Kenyataan tersebut dinyatakan Pengarah LHDN Negeri, Azizol Ahmad, berdasarkan laporan kutipan yang diterima daripada dua cawangan iaitu di Bukit Mertajam dan George Town.

“Dua cawangan negeri kami (LHDN) berjaya mendapat kutipan yang lebih tinggi berbanding sasaran ditetapkan untuk tahun ini.

KETUA Menteri menerima kunjungan hormat daripada Azizol Ahmad (berbatik hijau) yang ditemani Alia Saadi Abdul Rashid di pejabatnya di Komtar.

“Walau bagaimanapun, pihak kami kini giat menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi memberi kesedaran kepada rakyat supaya lebih sudi membayar cukai,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pagi ini.

Azizol yang hadir bersama-sama Pengarah Seksyen, Pejabat Pengarah Negeri LHDN Pulau Pinang, Alia Saadi Abdul Rashid, turut memberitahu mengenai mekanisma kutipan dan transformasi yang dilakukan oleh LHDN bagi meningkatkan hasil kutipan cukai.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, selain isu berkaitan cukai, Azizol memaklumkan mengenai penganjuran 40th CATA Technical Conference pada 11 hingga 14 November ini.

“Pulau Pinang telah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran persidangan antarabangsa tersebut setelah Sri Lanka (yang dipilih mulanya) menghadapi isu keselamatan.

“Persidangan ini akan melibatkan 150 delegasi daripada negara-negara Komanwel bagi membincangkan mengenai digitalisasi dan transaksi dalam talian,” ujarnya yang menyerahkan surat makluman dan jemputan kepada Kon Yeow.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN