BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengarahkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melaksanakan kutipan sampah tiap-tiap hari di kawasan rumah pangsa kos rendah seliaan Kerajaan Negeri, berbanding dua hari sekali sebelum ini.
Demi meningkatkan mutu keselesaan hidup rakyat, katanya, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak kisah perbelanjaan pengurusan sampah di Seberang Perai mungkin akan meningkat sekali ganda.
“Sebelum ini, kita kutip sampah dua hari sekali (di kawasan berkaitan), selepas ini sampah dikutip tiap-tiap hari.
“Tentu ia akan menambah kos 100 peratus, sekali ganda, tapi itu perlu kerana kebersihan saya rasa adalah segala-galanya,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam Majlis Perasmian Pengecatan Logo ‘I Love Penang‘ dekat Blok 1 Mak Mandin di sini baru-baru ini.
Turut berucap, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Hadir sama, ADUN Bagan Jermal Lim Hock Seng yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti serta Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh.
Guan Eng memberitahu, pihaknya berharap operasi kutipan sampah tiap-tiap hari berkaitan dapat dilaksanakan selewatlewatnya pada hujung tahun ini.
Sebelum itu, beliau menyatakan bahawa tujuan Kerajaan Negeri melaksanakan kempen pengecatan logo ‘Saya Pulau Pinang’ adalah sebagai bantahan kepada hasrat Menteri Wilayah Persekutuan ketika beliau berucap dalam majlis Sambutan Hari Wilayah 1 Februari lalu yang dilaporkan menyatakan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan sebahagian negeri Melaka sebagai Wilayah Persekutuan.
Tambah Guan Eng, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 3 Mac lalu meluluskan sejumlah RM222,590.20 untuk projek mengecat logo berkaitan pada 45 blok skim perumahan awam yang telahpun dikenal pasti di kelima-lima daerah seluruh Pulau Pinang.