Kutipan zakat meningkat, cecah hampir RM170 juta – TKMI

dsc 9856 MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang mangsa ribut dalam majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Jumlah keseluruhan hasil kutipan zakat bagi negeri Pulau Pinang yang berakhir pada 31 Disember 2024 adalah berjumlah RM169,779,622.08.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, angka itu adalah menyamai peningkatan lebih RM10 juta berbanding hasil kutipan zakat pada tahun sebelumnya iaitu 2023.

“Ini, membuktikan keyakinan rakyat khususnya umat Islam negeri Pulau Pinang terhadap pelan penstrukturan dan perubahan yang dilakukan oleh MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) termasuk ke atas Zakat Pulau Pinang,” ujarnya dalam suatu kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara pada 2 Januari 2025.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata bahawa pentadbirannya sejak 1 Mac tahun lepas memulakan Pelan Penstrukturan MAINPP yang merangkumi prosedur pentadbiran dan kewangan bagi menambah baik kecekapan tadbir urus Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pun begitu, jelas Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung bahawa ada pihak tertentu seakan cuba menimbulkan persepsi negatif konon-konon niat murni pelan penstrukturan MAINPP tersebut akan menjejaskan kutipan zakat yang diuruskan oleh ZPP.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi ucapan penghargaan kepada para pembayar zakat yang telah menunaikan kewajipan berzakat kepada MAINPP melalui agensinya iaitu Zakat Pulau Pinang.

“Semoga kerjasama erat di antara kesemua pihak berkepentingan ini akan memberikan impak positif yang besar dalam meneruskan misi Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 selari dengan Visi Penang2030,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB