MACHANG BUBOK – Pencemaran yang berlaku di Sungai Alor Merah dan Sungai Kulim seperti yang didedahkan sebelum ini dipercayai akibat sisa kumbahan ladang itik berhampiran, bukan dari ladang babi.
Perkara tersebut disahkan oleh Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dalam satu lawatan pemeriksaan di sini tengah hari tadi.
“Hari ini, kita pergi ke dua ladang, pertama ladang babi dan mendapati bukanlah pencemaran dari ladang ini tetapi datang dari ladang itik baka bersebelahan ladang babi.
“Kita mendapati memang ada pelepasan terus (sisa kumbahan) daripada ladang itik ke Sungai Alor Merah,” ujarnya kepada pemberita selepas pemeriksaan yang diiringi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini.
Hadir sama, Pengarah JPVPP, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab; Setiausaha Bahagian bagi Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang, Najwa Juaini Azmi; Pegawai Veterinar MBSP, Dr. Mohammad Akhlis Azmi dan wakil daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dan PBAPP.
Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu bahawa ia tidak memberi kesan secara langsung kepada air yang dirawat oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Ini kerana loji (Loji Rawatan Air) terletak jauh 14 kilometer dari lokasi ini.
“Memang ada pencemaran air menerusi sisa ternakan, tetapi ia tidak memberi kesan kepada sumber air yang dirawat di kedua-dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah,” katanya yang menyeru supaya orang awam tidak khuatir dengan keselamatan dan kebersihan air.
Dalam pada itu, Saira Banu ketika ditemui berkata, buat sementara waktu pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap ladang terbabit kerana ladang berkaitan belum dilesenkan ekoran Enakmen Penternakan Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang baru diwartakan pada 1 Januari 2024.
“Kami mendapati sistem kumbahan tidak diurus dengan betul, sepatutnya air cucian daripada kandang perlu disalurkan ke dalam kolam kumbahan, hasil siasatan tadi air kandang itu terus ke parit dan ke dalam sungai.
“Tindakan boleh diambil melalui MBSP, mereka boleh kompaun ladang tersebut, JPVPP pula akan mengambil tindakan menasihati penternak supaya mematuhi syarat-syarat penternakan.
“Saya percaya dalam masa beberapa hari, pemilik ladang akan selesaikan isu pelepasan terus ini dan JPVPP akan melakukan persampelan air untuk memastikan pelepasan ke sungai mematuhi piawaian ditetapkan,” jelasnya lagi.
Menjawab pertanyaan pemberita, Mohammad Akhlis memaklumkan bahawa MBSP akan mengarahkan pemilik mengemukakan surat tunjuk sebab.
“Sekiranya ladang terbabit mempunyai lesen, berisiko untuk lesen itu ditarik balik.
“Untuk pelepasan terus kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Penyaluran Sisa Tidak Dirawat dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 akibat ketidakpatuhan,” katanya.
Semalam, JAS Kedah melaporkan mengesan pencemaran aliran air yang dipercayai berpunca daripada sisa kumbahan ternakan dari ladang babi.