Ladang vanila pintar pertama negara diiktiraf dalam Malaysia Book of Records

Admin

PENANTI – Ladang vanila pintar pertama dalam negara yang diusahakan oleh syarikat Kairos Agriculture di atas tanah seluas dua ekar dekat Taman Agro Permatang Pauh di sini menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai kepada Pengarah Urusan Kairos Agriculture, Ezra Tan Koon Hock sambil disaksikan Yang Di-Pertua Negeri (T.Y.T), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Mengulas lanjut, Koon Hock memberitahu bahawa pihaknya kini sedang berusaha untuk mengembangkan lagi ladang vanila pintar berkaitan kepada ladang bersepadu yang akan merangkumi kitaran ekosistem.

Tun Abdul Rahman Abbas mendengar penerangan daripada Ezra Tan Koon Hock berkaitan sistem penanaman vanila secara pintar.

“Fokus utama kami ketika ini adalah untuk mengusahakan ladang vanila menggunakan teknologi pintar, model fertigasi, internet benda (IoT), nano teknologi serta banyak lagi.

“Bagaimanapun, dalam masa terdekat kami juga akan membuka sebuah kafe di kawasan ini untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat ladang vanila pintar yang diusahakan di sini.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pertanian Negeri serta lain-lain pihak di atas kepercayaan dan sokongan padu kepada Kairos (Agriculture) untuk membangunkan dan memulakan ladang tanaman vanila pintar ini,” katanya kepada Buletin Mutiara, di sini pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Koon Hock berkata, Kairos Agriculture telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama PWD Smart Farmability Sdn. Bhd. untuk membangunkan sistem terrarium bagi penanaman sayuran organik pertama di kawasan utara.

“Kami harap sistem yang dikenali sebagai ‘Hope Box’ ini mampu menjadi satu rancangan inovasi kepada sayur-sayuran segar, bebas kimia dan berkhasiat untuk semua lapisan ekonomi masyarakat termasuk kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Selain itu, penanaman sistem ini juga dapat mendorong masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing untuk mengamalkan gaya hidup hijau sebagai sumbangan kepada generasi akan datang.

Bayam Brazil yang ditanam menggunakan sistem terrarium.

“Secara tidak langsung dapat membantu merealisasikan visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara serta seiring dengan konsep ‘Circular Economy’ yang diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” ujarnya.

Katanya lagi, penanaman sayuran organik menggunakan sistem terrarium dijangka membawa pulangan kasar kira-kira RM1 juta setahun.

“Sekarang kami ada lebih daripada 100 kotak dan pada masa akan datang kami menyasarkan untuk memasarkan 1,000 kotak sebulan dengan harga jualan (satu kotak) kira-kira antara RM200 hingga RM250.

“Kos yang ditetapkan agak berpatutan kerana satu kotak boleh menghasilkan tanaman selama satu tahun selain kaedah penjagaan tanaman lebih mudah yang mana pengguna hanya perlu menyiram tanaman mereka sekali seminggu,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS