Laksana langkah proaktif kutipan cukai, galak orang ramai manfaat portal PgLAND

Admin
whatsapp image 2024 11 22 at 10.18.14

GEORGE TOWN – Dalam menangani isu kutipan cukai tanah dan cukai petak tertunggak, Kerajaan Negeri akan memastikan semua jabatan dan agensi negeri yang terlibat melaksanakan tindakan proaktif kutipan cukai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, antaranya mewujudkan pasukan petugas khas atau task force team di setiap daerah di negeri ini untuk memeriksa hak milik yang mempunyai tunggakan cukai.

Pasukan petugas khas ini juga bertanggungjawab melaksanakan perampasan tanah hak milik atas sebab gagal membayar tunggakan cukai di bawah Seksyen 100 Akta 828 atau perlanggaran syarat Seksyen 128 dan 129 akta sama.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan inisiatif rebat bagi bayaran tunggakan denda dalam usaha menggalakkan pemilik tanah membayar cukai yang mana Seksyen 14(1)(j) Akta 828 membenarkan Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peruntukan mengenai pemungutan, pengurangan, perebatan, pembayaran secara ansuran atau penangguhan berkaitan pembayaran cukai,” ujarnya.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons terhadap soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng pada persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 22 November 2024.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga menggalakkan orang ramai supaya memanfaatkan perkhidmatan dalam talian PgLAND yang dilancarkan pada 3 Januari 2023.

“Semua pembayaran cukai tanah dan cukai petak termasuk pembelian dokumen carian persendirian dan rasmi, urusan serahan dan urusan tanah yang berkaitan boleh dilakukan secara dalam talian,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR