Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini sedang melaksanakan pelbagai mekanisme kawalan bagi memastikan kenaikan harga hartanah di Pulau Pinang adalah pada kadar munasabah dan tidak menjejaskan rakyat, kata Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Ketiga Belas baru-baru ini.
Beliau berkata, antara mekanisme yang dilaksanakan Kerajaan Negeri ialah dengan memperkenalkan polisi pembekalan rumah kos rendah (KR), kos sederhana rendah (KSR) dan mampu milik serta langkah-langkah kawalan pasaran untuk menekan aktiviti spekulator hartanah.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan dengan polisi-polisi sedia ada iaitu pembinaan unit-unit rumah KR dan KSR sebanyak 30 peratus daripada jumlah unit-unit yang dibina di Pulau Pinang,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan satu lagi kategori perumahan baru iaitu perumahan mampu milik yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu rumah di bawah harga RM200,000, di bawah RM300,000 dan di bawah RM400,000.
“Setakat ini, Kerajaan Negeri bersama – sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mula dengan 10 projek perumahan mampu milik di mana sebanyak 19,973 unit akan dibina menjelang tahun 2018,” jelasnya.
Tambah Jagdeep, kerajaan juga telah memperkenalkan skim sewa-beli bagi golongan berpendapatan rendah dengan kadar sewaan sebanyak RM100 sebulan dan kos penyelenggaraan sebanyak RM20 sebulan di 51 unit rumah pangsa kos rendah di Taman Seruling Emas, Seberang Perai Selatan (SPS).
Terkini, Skim Pemilikan Bersama atau Shared Ownership Scheme (SOS) di mana pemohon hanya perlu mendapatkan pinjaman bank dengan faedah sebanyak 70 peratus manakala baki pinjaman sebanyak 30 peratus akan diberikan oleh Kerajaan Negeri tanpa sebarang faedah turut diperkenalkan bagi 104 unit rumah di Taman Sungai Duri Permai di SPS.