Laksana pembaharuan semula projek perumahan PDC Pintasan Cecil dan Pengkalan Weld, saran ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembaharuan Semula Bandar disaran agar melaksanakan pembaharuan semula bagi rojek-projek perumahan milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sekitar Pintasan Cecil dan Pengkalan Weld.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Danial Gooi Zi Sen berkata, langkah itu wajar memandangkan projek-projek perumahan tersebut dibangunkan dengan reka bentuk yang kurang kondusif.

“Umum mengetahui bahawa projek-projek perumahan ini dibangunkan pada era pembangunan projek Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan reka bentuknya adalah tidak begitu kondusif.

“Memandangkan projek-projek ini adalah kediaman bertanah (landed), adalah wajar untuk Kerajaan Negeri mempertimbangkan pelaksanaan pembaharuan semula dengan mengambil kira faktor ketumpatan.

“Kemudahan tambahan juga wajar diteliti sekiranya pembangunan perumahan berstrata dapat dikaji dan dipertimbangkan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2021 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang, semalam.

Tambah Zi Sen, Kerajaan Negeri juga disarankan supaya mengkaji pelaksanaan skim insentif khasnya kepada pemilik-pemilik bangunan usang di sekitar kawasan George Town terutamanya di Lebuh Victoria yang usang dan terbiar kini.

“Insentif ini diyakini dapat membantu memupuk dan menggalakkan penyelengaraan, menjalankan aktiviti perniagaan atau kediaman dapat dijalankan dibangunan-bangunan usang yang ditinggalkan tersebut,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS