GEORGE TOWN – Projek pembinaan Pakej 1 – Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (NCPR) dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang dijangka mula pada tahun depan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan jajaran baharu serta cadangan terma komersial oleh syarikat pelaksana, Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn. Bhd..
“Jajaran baharu ini adalah bagi mengelakkan kawasan kediaman yang padat di sepanjang Jalan Chee Seng, Jalan Chan Siew Teong, Marvista, Beverly Hills dan kawasan sekitar.
“Laluan ini akan bermula dari persimpangan Jalan Lembah Permai (Tanjong Bungah) dan melalui sepanjang pesisir pantai melepasi Masjid Masjid Daerah Timur Laut (Masjid Terapung), kemudiannya bersambung semula dengan laluan utama berhampiran Shamrock, menghubungkan Batu Ferringhi dan akan berakhir di Teluk Bahang.
“Projek ini dijangka dapat dimulakan pada tahun depan dan akan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif struktur utama di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bertujuan untuk meningkatkan kelancaran aliran trafik dan usaha mengurangkan kesesakan di negeri ini.
“NCPR akan menjadi laluan alternatif dari Tanjong Bungah ke Teluk Bahang yang dapat mengurangkan masa perjalanan daripada 30 hingga 45 minit kepada tujuh minit sahaja.
“Projek ini juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan sedia ada, di samping menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang,” katanya.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa projek tersebut akan menelan kos kira-kira RM2.43 bilion dengan nilai pengambilan tanah dianggarkan berjumlah RM500 juta.
“Projek ini akan mengambil masa enam bulan untuk memuktamadkan reka bentuk terperinci sebelum perjanjian sub-agreement akan dimeterai.
“Selain itu, jajaran baharu projek ini juga memerlukan pindaan kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dijangka mengambil masa kira-kira satu setengah tahun,” ulasnya lanjut.
Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membiayai sebahagian pembinaan sepanjang 4.88 kilometer (km) dari Jalan Tanjong Bunga ke Jalan Sungai Emas melalui kaedah pertukaran tanah kepada pihak CZC Sdn. Bhd.
“CZC Sdn. Bhd. pula akan membiayai jajaran sepanjang 5.73km dari Jalan Sungai Emas ke Teluk Bahang, dengan kos ini dibayar melalui kaedah kontra pada kemajuan masa hadapan pihak CZC di Pulau Pinang.
“Perincian kos bagi kedua-dua bahagian pembinaan ini akan dimuktamadkan sekali dengan reka bentuk terperinci,” jelasnya.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan & Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Zairil (ADUN) Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Dato’ Seri Farizan Darus; Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Lim Hee Khoon; Ketua Pegawai Eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Rohana Shariff dan Presiden (Projek dan Pembangunan) Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd., Lim Hooi Kooi.
Laluan Berkembar Pesisir Pantai Utara (Pakej 1) dengan jarak 10.61km merupakan projek kedua dimulakan selepas pelaksanaan Pakej 2 – Jalan Pintasan Air Itam ke Tun Dr. Lim Chong Eu yang kini telah mencapai lebih 73 peratus tahap pemajuan.
Jajaran berkaitan akan membabitkan jalan utama sepanjang 8.41km dan laluan pesisir pantai sejauh 2.2km. Ia akan merangkumi tiga persimpangan iaitu Jalan Sungai Emas dan Jalan Sungai 1, Jalan Batu Ferringhi (persimpangan berlampu isyarat – Chin Farm) dan Jalan Teluk Bahang.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : LAW SUUN TING