Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PENGKALAN KOTA – Kerajaan Negeri merayu agar operasi semua 550 bas yang dijanjikan Kerajaan Pusat pada 2010 dapat direalisasikan di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Pelancaran Terminal B Rapid Penang dekat Pengkalan Weld di sini baru-baru ini.
“Saya harap bahawa janji untuk menambah 200 bas tambahan ke atas 300 (bas) sedia ada, yang dibuat pada tahun 2010 dalam pembentangan Belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapatlah ditunaikan dan tidak lagi menghampakan rakyat Pulau Pinang dengan hanya 400 atau 450 buah (bas) ataupun ada laporan sampai 520 buah bas.
“Sekiranya ada 800 bas Rapid Penang yang bergerak dan beroperasi senantiasa (tiap-tiap) hari di atas jalan, Kerajaan Negeri akan memberikan laluan khas bas untuk Rapid Penang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang), Mejar (B) Mohd. Shukri Abdul Rahman turut berucap pada majlis tersebut.
Hadir sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dato’ Patahiyah Ismail serta beberapa Ahli Majlis MPPP lain.
Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri telahpun mempunyai Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dianggarkan menelan belanja RM27 bilion antara lain, demi mengalih kecenderungan rakyat dari menggunakan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.
“RM27 bilion ini, saya rasa ini yang paling besar di bahagian Utara (Semenanjung Malaysia).
“Pada November 2014, jumlah bas yang disediakan untuk perkhidmatan bas CAT telah bertambah daripada tiga bas ke(pada) lima buah (bas), dan masa perselangan perjalanan telah dikurangkan daripada 20 minit ke 10 minit.
“Penambahan bilangan bas CAT telah meningkatkan jumlah pengguna bas,” jelas beliau.
Guan Eng dalam pada itu turut memuji komitmen Kon Yeow yang acapkali menyuarakan isu-isu berbangkit berhubung rancangan memperbaiki mutu sistem pengangkutan negeri dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.
Sebelum itu, Mohd. Shukri turut memuji kerjasama Kerajaan Negeri dalam menjayakan projek pemajuan terminal tersebut.
“Ekspektasi saya, sistem yang kita (Rapid Penang) mahu sediakan di Pulau Pinang mesti mengatasi ekspektasi sistem pengangkutan di negara-negara maju seperti England dan Australia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri,” kata Mohd. Shukri.
Rapid Penang ditubuhkan pada 31 Julai 2007 demi menyediakan sistem pengangkutan bas yang lebih efisien dan kini 242 bas beroperasi tiap-tiap hari.
Angka itu, tidak termasuk perkhidmatan percuma Bridge Express Shuttle Transit (BEST) di antara Seberang Perai dan Bayan
Baru sebanyak 17 buah bas dan Central Area Transit (CAT) (5) di sekitar Tapak Warisan UNESCO George Town.
Kerajaan Negeri membelanjakan RM239,000 tiap-tiap bulan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bas percuma tersebut.
Terminal B Rapid Penang berkenaan mula dimajukan pada Jun tahun lepas di atas tanah Perbadanan Ketua Menteri (CMI) seluas 3,515 meter persegi yang telah dipajak kepada Syarikat Prasarana Negera Berhad. Ia mampu menampung operasi 12 bas dalam satu-satu masa.