GEORGE TOWN – Sebagai seorang Ketua Menteri yang berjiwa rakyat, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Program Ramah Mesra Bersama Penyokong Laman Sosial ‘Facebook’ (FB) baru-baru ini.
Beliau mengakui bahawa laman FB merupakan platform terbaik bagi mendekatkan lagi hubungan antara beliau dengan para penyokongnya yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan padu sepanjang penglibatannya menerajui tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Saya sangat terharu kerana berpeluang bertemu dengan hampir 200 rakan FB saya dan bersempena dengan penganjuran ini, saya berharap dapat mengenali semua rakan FB serta menjawab soalan yang dikemukakan,” ujar beliau semasa memberi ucapan di majlis tersebut.
Beliau juga berterima kasih kepada semua rakan FB yang memberi sokongan serta semangat kepada beliau untuk membawa masa depan yang lebih baik bukan hanya di Pulau Pinang, malah juga kepada Malaysia.
Menurut beliau lagi, setakat ini rakan FB beliau sudah mencecah 40,000 di samping 18,000 rakan di Tweeter yang mana keahlian FBnya naik mendadak terutama selepas Pilihan Raya Sarawak yang lalu.
“Selain itu, sebanyak 300 rakaman video saya yang dimuatkan di dalam Youtube ditonton sebanyak 611,000 kali sejak Mei 2010. Peningkatan ini membuktikan bahawa rakyat kini mampu melihat dan menilai dengan sendiri kreadibiliti Pakatan Rakyat (PR) terutama dalam meletakkan negeri ini sebagai negeri model yang memimpin dalm semua aspek,” katanya lagi.
Acara kemuncak program tersebut diakhiri dengan acara cabutan bertuah di mana hadiah-hadiah telah ditaja oleh beberapa buah hotel ternama di Pulau Pinang seperti Hard Rock, E&O, Park Royal, Golden Sand, Rasa Sayang, Penaga, Eastin, Copthorn Orchid, Holiday Inn, G Hotel, Traders, Cititel dan Paradise sandy Beach.