Langkah kanan Harimau Kumbang menang 1-0

Admin

GEORGE TOWN – Perlawanan pembuka tirai Liga Super Musim 2021 di gelanggang sendiri, Stadium Bandaraya pada malam ini rupa-rupanya menjadi langkah kanan buat pasukan bola sepak Penang FC (PFC) dengan membenamkan pasukan pelawat, Kuala Lumpur City FC, 1-0.

Menerusi sepakan penjuru, pemain tengah, David William Rowley membuat penyudahan ke gawang lawan pada minit ke-19.

KETUA Menteri (kanan) dan Menteri Wilayah antara yang hadir menyaksikan perlawanan sulung di Stadium Bandaraya di sini tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Abdul Rashid Ismail; Pengarah Eksekutif PFC Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir menyaksikan pelawanan tersebut, dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang Ahli Parlimen Kepala Batas dan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa.

Sehingga minit ke-90, keputusan kekal 1-0 sungguhpun skuad bola sepak negeri di bawah bimbingan Trucha Thomas sebelum ini dilaporkan tekad memburu tiga mata dalam perlawanan pembukaan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING