GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang sedang melaksanakan langkah-langkah pencegahan berwajib seperti menutup sebuah ladang ternak babi serta menghapuskan binatang ternakan susulan terdapat rekod kes Demam Babi Afrika (ASF) di sana.
Tidak cukup dengan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelang tengah hari tadi turut memberitahu bahawa JPV telah melaksanakan langkah pencegahan lain termasuk menghentikan operasi kenderaan pengangkutan babi rentas negeri.
“Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil langkah sewajarnya serta menasihati penternak babi di Pulau Pinang untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila wabak ASF melanda negeri lain kira-kira dua bulan lalu.
“Di samping itu, keseluruhan ladang berkenaan telah ditutup, babi sedang dimusnahkan serta ditanam di lokasi pada masa ini.
“Kita mahu membendungnya dan menghalangnya daripada merebak ke ladang babi lain,” responsnya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Terimaan Jawatan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama dekat sini pada 6 Januari 2023.
Difahamkan, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia menjelaskan ASF telah menjadi krisis besar bagi industri daging babi dalam beberapa tahun belakangan ini serta menjejaskan beberapa wilayah di seluruh dunia.
Menurut badan dunia tersebut, penyakit virus itu sangat menular pada babi domestik dan liar, serta kadar kematian boleh mencapai 100 peratus.
Bagaimanapun, jelas badan dunia itu lagi, ASF bukanlah bahaya kpada kesihatan manusia, sebaliknya virus tersebut memberi kesan buruk pada populasi babi serta industri penternakan. Ketika ini, masih tiada vaksin yang berkesan terhadap ASF.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI