SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melaksanakan semula kempen pendidikan peringkat komuniti berhubung dasar pengasingan sisa di punca sebelum melaksanakan langkah penguatkuasaan mulai Julai 2024.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah melaksanakan kempen pendidikan komuniti berkaitan dasar tersebut pada tahun 2017 serta langkah penguatkuasaan pada tahun 2019 tetapi terpaksa ditangguhkan pada tahun 2020 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“(Justeru,) mulai sekarang kita perlu menguar-uarkan dasar ini dan saya menetapkan bulan Julai 2024 untuk tahap pertama penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya kepada Buletin Mutiara seusai merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Depoh Pembersihan Ampang Jajar, Pejabat Operasi Jabatan Lanskap MBSP dan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC) di sini pada 19 Disember 2023.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berharap agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut bersama-sama kedua-dua PBT dalam menjayakan kembali kempen kesedaran dasar pengasingan sisa di punca.
Berucap sebelum itu, Mooi Lye memberitahu bahawa pengoperasian ISWMC di atas tanah seluas 10 ekar di sini merupakan yang pertama di Malaysia yang akan menggunakan sampah domestik sebagai bahan utama dalam menghasilkan metana di dalam Anaerobic Digester (AD).
Menurutnya lagi, ISWMC akan memproses sisa domestik, sisa kebun dan sisa pembinaan (C&D) menjelang 1 Februari 2025.
“Dianggarkan, fasiliti ini dapat memproses 1,200 tan sampah sehari dan akan mencapai kapasiti maksimum menjelang tahun 2040.
“Dengan wujudnya ISWMC ini, sisa domestik yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung (TPSPB) dapat dikurangkan dan akan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah tersebut,” jelasnya lagi.
Turut berucap, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Urusan Greenviro Solutions Sdn. Bhd., Dato’ Ts. Syamshuar Husin iaitu pihak pengendali ISWMC.
Barisan Ahli Majlis bagi MBSP lain turut sertai acara perasmian majlis pecah tanah tiga projek berkaitan tersebut di sini tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS