Langsai cukai sebelum 28 Februari, rebut hadiah wang tunai RM8,888 – Datuk Bandar MBSP

Admin
a38a6bf7 475b 4411 9941 c8aa88e332f9 SUASANA Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-608 Bil. 2/2025 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 25 Februari 2025.

SEBERANG PERAI – Mereka yang membayar cukai taksiran bagi penggal pertama tahun ini beserta tunggakan dengan menggunakan aplikasi pintar ASPIRE Seberang Perai, sebelum 28 Februari 2025, layak merebut 60 hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah tempat pertama berupa RM8,888 wang tunai.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, promosi tersebut diharap dapat menggalakkan semua pemilik premis supaya membayar cukai beserta tunggakan melalui saluran online, kiosk dan agensi kutipan yang telah dilantik sahaja.

“Saya dengan ini menyeru sekali lagi kepada semua pemilik premis agar segera merebut peluang keemasan ini,” jelasnya semasa berucap sempena Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-608 Bil. 2/2025 di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 25 Februari 2025.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu hadiah tempatan kedua, ketiga, keempat dan kelima juga dalam bentuk wang tunai yang mana masing-masing sebanyak RM5,000; RM4,000; RM3,000 dan RM2,000 beserta hadiah wang tunai lain untuk tempat ke-enam hingga 60.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa hadiah lain yang turut ditawarkan adalah LEM E-Bike; LEM Folding Bike dan Electric Scooter yang ditaja sendiri oleh ASPIRE Seberang Perai.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan bahawa mulai 3 Mac 2025 (Isnin), caj Notis E sebanyak RM10 akan dikenakan ke atas akaun pembayar cukai yang masih gagal menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Diharapkan pembayar cukai yang belum menjelaskan cukai taksiran supaya membuat bayaran dengan kadar segera,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan promosi serta terma dan syarat, sila layari laman web MBSP https://www.mbsp.gov.my atau sila hubungi talian 04-5497 470 / 471 / 696 / 697 atau e-mel di [email protected].

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD