Langur kian terancam, Ketua Menteri harap pameran seni cetus kesedaran awam

Admin
KETUA Menteri semasa melawat salah satu sudut pameran replika langur di Dewan Sri Pinang petang tadi.

GEORGE TOWN – Langur atau ‘Lotong’ merupakan antara spesies monyet dalam rumpun lama yang hidup secara bebas serta liar terutama sekitar kawasan Teluk Bahang, Bukit Bendera, Batu Feringghi dan sebahagian daerah Seberang Perai.

Menyedari ancaman semasa terhadap habitat itu, Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang serta sekumpulan artis saling berganding bahu menganjurkan pameran seni dalam bentuk lukisan, seramik, arca, video dan penghayatan kreativiti di Galeri Aras 3, Balai Seni Lukis Negeri di sini sejak 1 November lalu.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya berharap pameran yang bakal melabuhkan tirai pada 31 Disember ini dapat menyemarakkan lagi kesedaran pelbagai pihak mengenai Langur.

“Jumlahnya (habitat Langur) kian berkurangan kini disebabkan pelbagai faktor antaranya dipercayai hasil pemerdagangan haram sebagai haiwan peliharaan dan juga terlibat dalam kemalangan.

“Justeru, adalah diharapkan menerusi penganjuran (pameran seni) khas ini, ia akan membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat umum tanpa mengira lapisan umur bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam melindungi spesies Langur yang unik untuk tatapan generasi akan datang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam Majlis Penutupan Pameran Seni Lukis Langur pada 11 Disember 2021.

Sebelum itu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata pihaknya berharap pameran seumpama dapat terus diadakan di Pulau Pinang demi pemuliharaan flora dan fauna terancam pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Haryani Mohamad memberitahu bahawa kira-kira 50 peratus hasil seni kreatif pelbagai jenis yang dipamerkan di sini sejak 1 November lepas telahpun dijual, dan hasilnya akan dimanfaatkan untuk kerja-kerja memelihara habitat terancam tersebut.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Lee Khai; Pengarah Muzium Alam Semula Jadi, Jabatan Muzium Malaysia, Dr. Farizawati Sabri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Ezhar Yusuf antara barisan tetamu yang menyertai majlis penutupan pameran seni lukis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS