Lantik anggota keluarga, konflik kepentingan perlu dielakkan, respons Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di Komtar pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Tanpa merujuk kepada mana-mana susuk peribadi pemimpin negara, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa amalan nepotisme dengan melantik anggota keluarga dalam kerajaan sewajarnya dielakkan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa larangan pelantikan anggota keluarga menjadi pegawai dalam Pejabat Exco Kerajaan Negeri telahpun diamalkan sejak tahun 2008.

“(Di Pulau Pinang) sekian lama Exco diarahkan untuk tidak melantik anggota keluarga bagi sebarang jawatan dalam pejabat mereka.

“(Sehubungan itu,) kalau ada apa-apa yang boleh menimbulkan konflik kepentingan, ia perlu dielakkan pelantikan sedemikian,” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri sebagai menjawab soalan pemberita di Komtar dekat sini pada 7 Februari 2023.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut diminta mengulas mengenai kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat akaun serta sumber perbelanjaan PH dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

Dalam reaksi spontan, Kon Yeow berkata bahawa para wakil rakyat PH yang memenangi pilihan raya umum lepas telahpun membekalkan penyata perbelanjaan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 30 hari, sebagaimana mengikut peraturan pilihan raya berwajib.

“Jadi, saya percaya ianya (penyata perbelanjaan) perlu diserahkan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan digazetkan.

“Dan, bagi negeri Pulau Pinang, kita semua serahkan penyata (perbelanjaan PRU15) ini,” respons beliau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT