Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Prestasi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus kekal terbaik dan jaguh berbanding negeri lain di Malaysia dalam Indeks Akauntabiliti sebagaimana dilaporkan dalam Laporan Audit Negara bagi tahun 2016.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melalui kenyataan akhbarnya 20 Ogos lalu turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri.
“Diharapkan pengiktirafan ini akan memberi galakan kepada pihak-pihak berkaitan untuk terus berusaha gigih bukan sahaja demi mengekalkan kedudukan cemerlang, sebaliknya memperbaikinya lagi agar semua jabatan dan agensi kerajaan boleh memperoleh prestasicemerlang lima bintang,” katanya.
Tambah Guan Eng, hal ini menunjukkan keberkesanan pentadbiran CAT iaitu Cekap, Akauntabel dan Telus Kerajaan Negeri yang membolehkan Pulau Pinang mencatatkan prestasi kewangan cemerlang sejak 2008.
“Contohnya, lebihan belanjawan dicatatkan setiap tahun, kenaikan rizab aset lebih 100 peratus, pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90 peratus dan lebihan belanjawan terkumpul sebanyak RM574 juta dalam lapan tahun (2008- 2015), berbanding 50 tahun sebelumnya (1957- 2007) hanya RM373 juta,” katanya.
Mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2016, kata Guan Eng, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pengauditan pengurusan kewangan berasaskan Indeks Akauntabiliti di 10 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri. Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan menunjukkan peningkatan.
“Pada 2016, lapan atau 80 peratus jabatan dan agensi memperoleh tahap cemerlang sebagaimana tahun sebelumnya (2015).
“Manakala, dua atau 20 peratus jabatan dan agensi negeri berada bagi tahap baik bagi 2016 berbanding satu atau 10 peratus (2015), dan satu atau 10 peratus di tahap tidak memuaskan (2015).
“Keadaan berkaitan menunjukkan bahawa jabatan dan agensi negeri telah mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan prestasi pengurusan kewangan masing-masing kepada kedudukan cemerlang.
“Selepas dibandingkan dengan prestasi negeri lain, Pulau Pinang sekali lagi muncul juara seluruh Malaysia,” ujar beliau.