Laporan EIA projek tambakan laut PSI lulus

GEORGE TOWN – Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI) telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

 

Ketua Menteri, Y.A.B.Tuan Chow Kon Yeow berkata, kelulusan daripada jabatan persekutuan di bawah seliaan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 11 April 2023 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“(Kelulusan) tersebut adalah berasaskan 71 syarat yang ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) bagi projek berkenaan,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 26 April 2023.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus dan Timbalan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd., Azmi Mohamad.

 

Lanjutan kelulusan EIA tersebut, kata Kon Yeow, Kerajaan Negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini dalam proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Negeri Pulau Pinang.

 

“EMP ini (mengandungi butiran tatacara) bagaimana syarat-syarat yang ditetapkan itu dapat dipatuhi.

 

“Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh yang mana ia dijangkakan pada suku ketiga tahun ini (bagi kerja-kerja tambakan).

 

“(Dan) sekiranya kerja-kerja tambakan bermula, ia akan dimulakan dengan ‘Pulau A’ yang mana 700 ekar (daripada keseluruhan ‘Pulau A’ seluas 2,300 ekar) adalah bagi membangunkan Green Tech Park (GTP),” ujar Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi itu.

ILUSTRASI ‘Pulau A’.

Sebagai rekod, PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 4,500 ekar di perairan Selatan Pulau Pinang yang bukan sahaja akan mewujudkan tanah baru untuk pembangunan negeri pada masa hadapan malahan menjadi pendayaupayaan sosial termasuk kepada nelayan setempat serta menyumbang impak positif dalam memacu ekonomi Pulau Pinang.

 

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 sentiasa cakna dalam memastikan pembangunan di negeri ini dapat disesuaikan dengan perubahan iklim semasa.

 

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu telah mengambil langkah mitigasi dan adaptasi berkaitan impak perubahan iklim yang merangkumi pelan perancangan strategi jangka panjang.

 

“Hal ini dapat dilihat di Batu Kawan misalnya yang mana pembangunan membabitkan kawasan industri melaksanakan penyesuaian melalui pelbagai program adaptasi perubahan iklim.

 

“Ini (langkah-langkah penyesuaian) juga termasuk dalam perancangan pembangunan PSI yang mengambil kira kenaikan paras air laut pada masa hadapan kesan daripada pemanasan dan perubahan iklim global.

 

“Selain itu, saya percaya pada peringkat kerajaan dan badan-badan profesional lain turut mengakui bahawa perubahan iklim sedang berlaku.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan UN-Habitat (Program Petempatan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Think City bagi pelaksanaan pelan adaptasi iklim semula jadi,” ulasnya sebagai respons terhadap satu laporan berita berhubung ancaman perubahan iklim masa depan di Pulau Pinang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI