Laporan Ketua Audit Negara puji lebihan kewangan P. Pinang – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa yakin bahawa Kerajaan Negeri mampu mengekalkan rekod surplus saban tahun sejak 2009 hingga 2013, semasa Penyata Kewangan ditutup pada 31 Disember nanti.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai Bajet 2016 Pulau Pinang yang keseluruhannya berjumlah RM1,105.65 juta, dengan unjuran defisit yang lebih besar berbanding belanjawan tahunan 2015.

“Apabila Penyata Kewangan ditutup, angka sebenar (iaitu) sama ada lebihan atau kurangan kewangan itu adalah lebih penting, berbanding satu-satu anggaran belanjawan yang mengamalkan defisit.

“Janganlah kita risau dengan anggaran defisit ini kerana Laporan Ketua Audit Negara merekodkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang tiap-tiap tahun ada lebihan kewangan.

“Pada (Penyata Kewangan) hujung tahun inipun, saya akan cuba memastikan rekod lebihan kewangan tiap-tiap tahun akan dikekalkan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Peluncuran Buku Penang The Fourth Presidency of India 1905-1830, Volume 2: Fire, Spice And Edifice, karya Marcus Londong di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Pengurusan Lalulintas merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow.

Guan Eng berkata demikian bagi mengulas pembentangan Bajet 2016 negeri pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-13 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini sebelum ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, amalan tender terbuka dengan jaminan sebut harga serta keuntungan kompetatif yang diamalkan Kerajaan Negeri diharap mampu memperoleh lebihan kewangan semasa Penyata Kewangan ditutup nanti.

“Mengapa Kerajaan Persekutuan mengamalkan (bajet) defisit dan kurangan pada angka sebenar (dalam penyata kewangan), kerana mereka mengamalkan tender ‘abang adik’ (secara rundingan tertutup), sedangkan kita (Kerajaan Negeri) mengamalkan tender terbuka.

“Apabila pembida saling bersaing (melalui tender terbuka), kita (Kerajaan Negeri) akan mendapat sebut harga terbaik,” jelas beliau yang juga ADUN Air Putih.

Memetik rekod Laporan Ketua Audit Negara 2013, rekod kewangan negeri Pulau Pinang mempunyai surplus sebanyak RM1,283.35 juta, RM1,184.45 juta (2012), RM1,128.06 juta (2011), RM1,128.66 juta (2010) dan RM1,098.02 juta (2009).

“Lebihan kewangan Kerajaan Negeri tiap-tiap tahun turut dipuji dalam Laporan Ketua Audit Negara (2013),” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Terdahulu, Guan Eng mencadangkan Bajet 2016 keseluruhannya sebanyak RM1,105.65 juta, iaitu pertambahan RM112.83 juta atau 11.36 peratus, berbanding anggaran belanjawan bagi tahun 2015, RM992.82 juta.

Gambarannya, Bajet 2016 mengalami defisit RM292.13 juta.

“Jangkaan defisit ini bertambah sebanyak RM61.82 juta berbanding dengan defisit tahun 2015 yang sejumlah RM230.31 juta.

“Namun, mengambil kira janji Kerajaan Negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri,” katanya.

Lagipun, Guan Eng memberitahu, bajet defisit yang dicadangkan pada kali ini adalah demi memastikan kesejahteraan dan kepentingan rakyat senantiasa dijamin.

Tuntas itu, beliau menyatakan bahawa anggaran defisit atau kekurangan RM292.13 juta yang dijangka dalam Bajet 2016 akan dibiayai oleh Simpanan Terkumpul Negeri dengan berbaki sebanyak RM880.75 juta pada akhir tahun 2014.

Dalam perkembangan lain, difahamkan, Kerajaan Pusat turut mengamalkan belanjawan defisit selama 18 tahun sejak 1998, dan tiap-tiap tahun mengalami defisit yang sebenar semasa Penyata Kewangan ditutup pada 31 Disember tiap-tiap tahun sehingga kini.