Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PERMATANG PAUH – Hampir 100 penduduk Kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kubang Semang melancarkan demontrasi aman gara-gara lebih 100 cakera padat video (VCD) lucah berjudul “Wasiat Tok Guru” disebarkan di sekitar masjid mereka.
Demontrasi itu diadakan di perkarangan Balai Polis Kubang Semang, Penanti, di sini, sebelum mereka membuat laporan polis mengenai VCD lucah seorang lelaki mirip Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang perempuan misteri.
Pengerusi kariah masjid berkenaan, Abu Bakar Bakilani Abu Hassan berkata, kewujudan VCD itu disedari ketika orang ramai sibuk hendak mengerjakan Solat Fardhu Jumaat pada 11 November lepas.
“Jika dilihat dari luaran, pasti orang akan ingat ia benar-benar video ‘Wasiat Tok Guru’.
Tapi, saya terkejut apabila ada anak kariah yang datang kepada saya maklumkan bahawa kandungan sebenar adalah video lucah.
“Bukan setakat masjid ini sahaja, malah, perkara sama turut berlaku di lebih lima masjid dalam kawasan Permatang Pauh,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Semang di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, wakil Masjid Kariah Mengkuang, Sungai Lembu, Penanti yang turut membuat aduan polis berkata, perbuatan tersebut amat melampaui batas dan tidak dapat dimaafkan kerana menggunakan masjid sebagai medium untuk menyebarkan perkara tidak elok. Ia juga dilihat mencemarkan imej masjid sebagai sebuah institusi agama.
“Saya meminta supaya mereka yang ada menyimpan VCD ini supaya mengembalikannya semula kepada pihak masjid untuk dimusnahkan,” ujar wakil berkenaan.
Sehingga kini, difahamkan, tidak ada maklum balas rasmi pihak polis berhubung laporan penduduk-penduduk di dua kariah berkenaan.