Laporan siasatan parkir bertingkat Bukit Bendera dipamerkan

Oleh: ZULIANA AZIZ

KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng (kanan sekali) melihat laporan siasatan sambil disaksikan (dari kanan) oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan untuk mempamerkan laporan siasatan berkenaan parkir bertingkat Bukit Bendera kepada umum bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri laporan yang telah disiapkan oleh jawatankuasa siasatan khas tersebut.

Orang ramai boleh berkunjung ke tingkat tiga, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bermula jam 9 pagi hingga empat petang, dari Isnin hingga Jumaat. Laporan siasatan mula dipamerkan kepada umum sejak awal bulan Disember.

Bagi orang ramai yang berminat untuk membaca dan melihat laporan tersebut, mereka boleh mendaftar di tingkat tiga dan akan diberikan satu salinan ringkasan laporan secara percuma. Manakala, setiap orang diperuntukkan selama dua jam untuk membaca dan melihat laporan lengkap yang disediakan.

Lembaga Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang terdiri daripada Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Jabatan Alam Sekitar, Universiti Tunku Abdul Rahman, Profesor Sr. Omar Munir, Pengerusi Institut Arkitek Malaysia, Ar. Lawrence Lim dan bekas Pengerusi Institut Jurutera Malaysia (Cawangan Utara), Ir. Lim Kok Khong.