Laporan teknikal PSR akan dibentang kepada MPFN 18 April – Kon Yeow

Admin

SEBERANG JAYA – Semua laporan teknikal lengkap seperti Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Laporan Analisis Risiko Marin, Kajian Hidraulik, Kajian Impak Perikanan, Kajian Impak Trafik dan Kajian Impak Sosial bagi cadangan Projek Tambak Laut Selatan Pulau (PSR) akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa kerja-kerja tanah boleh dimulakan sekiranya segala nasihat yang disampaikan jabatan-jabatan teknikal MPFN sebelum ini bagi projek tersebut dapat dipenuhi pemohon iaitu Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Ianya akan dibentangkan sebagai nasihat, maksud nasihat adalah mengandungi langkah-langkah yang perlu dipenuhi oleh pemohon… (contohnya) Kajian Impak Perikanan, apakah langkah mitigasinya.

“Maka, saya percaya MPFN akan menasihatkan perlu jaga semua (cadangan majlis itu) ini, memenuhi apa yang telah (dinasihatkan), kalau mengikut nasihat ini, maka bolehlah meneruskan PSR.

“Kalau dengan nasihat, dianggap sudah lulus lah,” respons Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Hal Ehwal Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi di sini pada 13 April 2019.

Sebelum itu, beliau merasmikan Kempen Milik Rumah Sendiri 2019 Sempena Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) di sini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee, Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong serta peneraju-peneraju syarikat perumahan swasta lain.

Cadangan penambakan laut di selatan pulau adalah untuk membiayai kos pemajuan dan perbelanjaan operasi projek pembangunan bercampur Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dianggarkan kira-kira RM47 bilion.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI

Video : LAW SUUN TING