BUKIT TAMBUN – Semua kenderaan berat melebihi 5 tan dilarang memasuki Jalan Bukit Tambun berkuatkuasa 3 Februari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata pelaksanaan larangan tersebut adalah melibatkan semua jenis kenderaan berat kecuali kenderaan kepunyaan kerajaan dan badan-badan berkanun.
“Cadangan ini telah diwartakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui P.U. (A) 142 pada 29 Mac 2021 dan sepatutnya dikuatkuasakan pada Mac tahun sama tetapi ditangguhkan untuk menyiapkan jalan-jalan alternatif.
“Laluan terbabit adalah di Jalan Bukit Tambun dari persimpangan Jalan Perindustrian Bukit Minyak hingga Tol Bukit Tambun (utara) dan Jalan Pa Thau ke Paboi di Bukit Tambun pada waktu puncak.
“Larangan ini adalah berkuatkuasa pada setiap hari dari jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 5 petang hingga 7 malam kecuali Sabtu, Ahad dan hari pelepasan am.
“Namun begitu, dalam tempoh dua minggu pertama seleas tarikh kuatkuasa, pihak berkuasa negeri akan memberikan teguran kepada pemandu yang masih melanggar arahan,” katanya pada sidang media dekat sini semalam.
Turut hadir, Ahli Majlis bagi MBSP, Datuk Mohd. Noor Ahmad, Yeoh Kim Kim dan K. Preedeb Kumar; wakil-wakil JKR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Choon Aik berkata, pemandu kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif bagi arah utara dengan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) iaitu susur keluar Juru atau Tol Bandar Cassia.
“Jalan Persekutuan atau negeri pula adalah menggunakan Jalan Tok Kangar-Jalan Perindustrian Bukit Minyak 8 dan Jalan Perindustrian Bukit Minyak-Jalan Kendi /Jalan Persekutuan-Jalan Perusahaan Valdor.
“Bagi laluan arah selatan pula, mereka boleh menggunakan PLUS iaitu susur keluar Juru atau Tol Bandar Cassia manakala jalan Persekutuan atau negeri pula ialah Jalan Perusahaan Valdor,” ulasnya lanjut.
Beliau berkata, larangan tersebut juga telah dimaklumkan kepada pihak-pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Persatuan Syarikat Perindustrian Bebas (Frepenca) dan Bahagian Keselamatan MBSP.
“Selain itu, pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), PLUS dan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) juga telah dimaklumkan pada 6 Januari lalu.
“Malah, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah membuat hebahan mengenai pelaksanaan larangan di kedua-dua Jalan Persekutuan ini melalui pelbagai platform media sosial,” jelas beliau lagi.
Tambahan pula, katanya beberapa projek mega akan dilaksanakan seperti Penang Medi-City, Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) dan Rmah Mampu Milik (RMM) Bakat Baru Madani.
“Justeru, Kerajaan Persekutuan perlu menaik taraf jalan-jalan di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) khususnya di Bukit Tambun untuk memastikan sistem jalan raya dapat menampung aliran trafik pada masa hadapan,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN