Larangan merokok, JKN Pulau Pinang keluar 7 amaran

DR. Afif Bahardin (kiri) menyerahkan pelekat larangan merokok kepada salah seorang pemilik premis di George Town, tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Sejak 1 Januari 2019 hingga semalam (6 Januari), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang telah melakukan 1,394 pemeriksaan ke premis makanan di seluruh Pulau Pinang ekoran arahan larangan merokok di semua premis makanan seluruh negara.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, pada lawatan tersebut, selain memberikan poster larangan merokok kepada pemilik premis untuk ditampal, kesempatan tersebut juga diguna untuk menerangkan lebih lanjut tentang polisi berkaitan.

Dalam tempoh tersebut, saya dimaklumkan seramai tujuh orang perokok telah diberikan amaran yang terdiri daripada warganegara dan warga asing. Ini merupakan sebahagian usaha yang sudah dimulakan sejak 1 Januari sehingga ke hari ini.

Bagi yang diberi amaran tiada kompaun dikeluarkan memandangkan sekarang merupakan tempoh educational enforcement yang mana ianya lebih kepada untuk memberitahu tentang situasi ini,” ujar beliau ketika melakukan pemeriksaan ke beberapa premis makanan sekitar Jalan Penang dan Jalan Burma tengah hari tadi.

Hadir sama, pegawai-pegawai dari JKN Pulau Pinang serta pihak media.

Mengulas tentang pemeriksaan yang dijalankan sejak 1 Januari lalu, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menyatakan bahawa daripada 1,394 premis yang dilawati, didapati 719 buah premis langsung tidak mempunyai poster tanda larangan merokok.

1,181 premis yang masih benarkan orang (pelanggan) merokok, kita beri amaran termasuk juga kepada pemilik premis dan proses ini akan berterusan untuk minggu-minggu yang akan datang.

Kembali kepada matlamat asal perlaksanaan ini, saya rasa jika orang ramai sendiri yang menegur orang merokok adalah lebih baik dari kami (JKN) datang dan lakukan penguatkuasaan.

Ini juga bagi mengelakkan orang sekeliling daripada menjadi perokok kedua akibat menyedut asap dari perokok,” ujarnya lanjut.

Di sebalik perlaksanaan tersebut, difahamkan, tindakan penguatkuasaan kepada perokok di kawasan George Town World Heritage di bawah program Penang Bebas Asap Rokok (PENBAR) yang dilancarkan sebelum ini masih berkuatkuasa seperti biasa.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD