Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
SEBERANG JAYA – Seramai 130 peserta menjayakan program Larian Amal Sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2014 yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu golongan kurang bernasib baik dan anak-anak yatim di sini baru-baru ini.
Turut serta dalam program anjuran Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang (KPJ) dengan usahasama bersama syarikat minuman, Sunquick dan National Kidney Foundation (NKF) tersebut adalah Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.
Acara utama program tersebut adalah larian amal sejauh tujuh kilometer bermula dari perkarangan Hospital KPJ.
Afif ketika memberikan ucapan perasmiannya berkata, beliau berasa bertuah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ekoran terdapat dua hospital di kawasan tersebut yang mana bersesuaian dengan portfolio beliau.
“Dengan adanya dua buah hospital di kawasan ini (Seberang Jaya), diharap penduduk sekitar boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti,” katanya di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ, Abdul Aziz Abdul Rahman, Dr. R. Padmanathan (Pengarah Perubatan KPJ), Ong Mooi Seok (Ketua Pegawai Jururawat KPJ) dan Rosli Hamid (Pengurus Operasi KPJ).
Di penghujung program, para peserta diberikan sijil penyertaan dan juga keistimewaan menikmati diskaun 20 peratus untuk pemeriksaan kesihatan eksekutif di KPJ.
Dalam pada itu, Afif turut menggesa para penduduk di negeri ini agar sentiasa menjalankan aktiviti sihat memandangkan Kerajaan Negeri sangat komited dengan program sebegini kini.
“Saya berharap agar rakyat negeri ini dapat bersama-sama menjalankan aktiviti sebegini memandangkan Kerajaan Negeri telah banyak menyediakan lokasi serta fasiliti riadah untuk orang awam di sini,” ujar beliau.