Larian awal tidak gugat semangat 903 peserta

LarianHijau
MAIMUNAH Mohd. Sharif (belakang, dua dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama-sama para pemenang Larian Hijau MPSP 2012 pada majlis penghargaan program berkenaan di sini baru-baru ini.

                                                   

BUKIT MERTAJAM – Walaupun acara dimulakan seawal jam 5 pagi, ia langsung tidak menggugat semangat 903 peserta Larian Hijau Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) 2012 yang julung kali diadakan di sini baru-baru ini.

Penganjuran larian bagi menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat awam tersebut juga bertujuan mempromosikan Bukit Mertajam sebagai sebuah bandar berpotensi dimajukan sebagai destinasi sukan pelancongan serantau.

Pada masa sama, ia juga dapat melahirkan kesedaran serta mewujudkan hubungan baik antara pihak MPSP dan orang ramai di kawasan Seberang Perai.

Yang DiPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan walaupun program yang memperoleh kerjasama semua pihak terbabit dilaksanakan buat julung kali.

“Larian Hijau MPSP 2012 mengambil jarak sepanjang 21 kilometer (km) bagi acara pertandingan dan 3 km bagi acara ‘Fun Run’.

“Terdapat lima kategori yang dipertandingkan iaitu ‘Men’s Open’, ‘Men’s Junior Veteran Open’, ‘Men’s Senior Veteran Open’, ‘Women’s Open’ dan ‘Women’s Veteran Open’ dengan tawaran hadiah bernilai RM15,000 secara keseluruhan,’’ katanya pada Majlis Penghargaan Larian Hijau MPSP 2012 di sini baru-baru ini.

Antara barisan penaja yang turut sama menjayakan penganjuran tersebut adalah Datuk Lim Wah Lee dari Syarikat Wah Lee Chain Store Sdn. Bhd., BM City Reality & Construction Sdn. Bhd., Yeo’s Sparkling H-TWO-O Isotonic Drink, TG Ocean Health Food Industries Sdn. Bhd., Global Megajasa Sdn. Bhd., VSD Mitthas Sdn. Cape Technology Sdn. Bhd., Key Power 2XU dan Grocer Store. Turut terlibat adalah, Penang Adventures Clubs (PAC), iRunner dan Penang Amateurs Athletics Association (PAAA).