Larian obor APMG 2018 tiba di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Bahang temasya Asia Pacific Masters Games Penang 2018 (APMG) sampai ke kemuncak apabila larian obor kejohanan berkaitan kini tiba di Pulau Pinang.

Larian obor yang bermula di Kudat, Sabah sejak 28 April lalu dijangka berakhir pada acara kemuncak pembukaan rasmi APMG pada 8 September ini di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow baru-baru ini menyertai acara larian obor APMG bermula dari Padang Kota Lama ke Panggung Odeon dengan menaiki kereta kuda sambil diiringi kira-kira 100 pelari.

Obor itu kemudiannya dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dari Panggung Odeon menuju ke Komtar.

Kon Yeow sebelum itu dalam ucapannya berkata, larian obor yang berjaya disempurnakan telah memasyhurkan nama Pulau Pinang di segenap pelusuk negeri di Malaysia.

“Diharap dengan larian obor ini yang bermula di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan berakhir di Pulau Pinang akan dapat memasyhurkan lagi nama negeri.

“Syabas dan terima kasih kepada semua termasuk Datuk Bandar yang telah mendapatkan kerjasama daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia untuk sama-sama memeriahkan larian ini,” ujarnya sambil menyatakan harapan agar sukan tersebut dapat dilangsungkan dalam suasana baik dengan semangat persaudaraan, semangat kesukanan serta semangat Malaysia baharu.

Hadir sama, Presiden Penganjuran Sukan APMG yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa penganjuran APMG telah dilaksanakan mengikut standard yang begitu tinggi.

“Saya percaya selepas penganjuran ini berakhir di Pulau Pinang selaku bandar raya tuan rumah, pasti tidak ada bandar raya lain yang akan berani menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk penganjuran seterusnya.

“Ini kerana ia telah mencapai standard yang begitu tinggi… tetapi hanya menggunakan bajet yang begitu sedikit sahaja,” ujar beliau sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Sukan APMG 2018 bakal berlangsung dari 7 hingga 15 September ini dengan mempertandingkan 22 acara sukan secara keseluruhannya.