GEORGE TOWN – Persatuan Industri Perabot dan Kayu-kayan Pulau Pinang (PFTIA), SP Setia Berhad dan Kerajaan Negeri buat julung kalinya bekerjasama menganjurkan acara Larian Penfurnex 2014 sebagai satu lagi inisiatif ke arah Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 15 Jun ini bakal diadakan di Subterranean Penang International Conference and Exhibition Centre (SPICE).
Menurut Pengerusi Penganjur, Richard Ooi Beng Poh, tujuan utama penganjuran Larian Penfurnex adalah bagi mempromosikan ekspo tahunan PFTIA iaitu Ekspo Perabot Pulau Pinang (Penfurnex) yang bakal diadakan pada 19 Julai 2014.
“Tahun 2014 merupakan tahun ke-10 penganjuran Penfurnex dengan penyertaan pelbagai penggiat industri perabot dan hiasan dalaman.
“Oleh demikian, kita mengambil inisiatif menganjurkan Larian Penfurnex di samping membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Presiden PFTIA, Ngai Chin Soon dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur program.
Sejumlah RM8,000 baucar tunai dipertandingkan bagi 10 pemenang Larian Penfurnex 2014 (kategori 10 kilometer) di samping sijil penyertaan dan trofi.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana organisasi yang mendokong usaha ke arah menjadikan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
Sebanyak enam kategori bakal dipertandingkan iaitu 10 kilometer (km) Terbuka Lelaki (18 – 39 tahun), 10km Terbuka Wanita (18 – 34 tahun), 10km Veteran Lelaki (40 tahun dan ke atas), 10km Veteran Wanita (35 tahun dan ke atas), 5km Fun Run Lelaki (15 tahun dan ke atas) dan 5km Fun Run Wanita (15 tahun dan ke atas).
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian hotline Penfurnex 04 – 398 6666 dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang, atau layari laman sesawang rasmi Penfurnex, www.penfurnex.com.my.