Lawan COVID-19, Kerajaan Negeri ‘walk the talk’

Admin

GEORGE TOWN – Lebih sebulan tempoh melawan wabak COVID-19, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan mengotakan janji bagi membantu barisan hadapan (frontliners) petugas kesihatan berdepan cabaran pandemik tersebut.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada lawatan dan telesidang bersama-sama barisan hadapan petugas kesihatan Hospital Pulau Pinang (HPP) petang tadi.

“Pihak Kerajaan Negeri senantiasa mengambil maklum tentang cabaran-cabaran yang dihadapi dan ‘walk the talk’ dalam memenuhi keperluan berkaitan termasuk peralatan kelengkapan diperlukan.

“Sama ada secara langsung daripada Kerajaan Negeri atau pihak-pihak sawasta dan juga orang awam, saya percaya apa yang kami terima di peringkat negeri Pulau Pinang, kalau sesuai diguna, ianya akan dibawa kepada JKNPP dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Justeru, saya mahu semua frontliners di Pulau Pinang mengetetahui bahawa Kerajaan Negeri adalah bersama-sama dengan anda, anda melakukan usaha terbaik sekali dalam mengawal keadaan (COVID-19) di Pulau Pinang,” ujarnya sebagai memberi kata-kata semangat kepada barisan hadapan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan HPP.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Pollitik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib dan Pengarah HPP, Dr. Teo Gim Sian.

Melalui taklimat oleh pihak HPP, Kon Yeow mengulangi komitmen sokongan terhadap apa yang dirancang oleh JKNPP, HPP dan KKM (Kementerian Kesihatan) di dalam perjalanan melawan COVID-19 di Pulau Pinang.

Pada kesempatan sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas-petugas merangkumi klinik-klinik serta hospital seluruh Pulau Pinang dalam berdepan COVID-19 kini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada anda semua, perjalanan ini masih belum tamat, masih ada lagi kes-kes yang menunggu perhatian tuan-tuan dan puan-puan, pakar perubatan serta petugas.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan bersama-sama dalam perjalanan ini sehingga kita mencapai kemenangan.

“Bagaimanapun, dunia pasca COVID-19 adalah dunia yang berbeza, marilah sama-sama kita kuatkan semangat dan bersatu-padu dalam menghadapi cabaran yang mendatang,” seru Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam pada itu, Asmayani menghargai segala bentuk sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada JKNPP dan juga HPP.

“Segala sumbangan diberikan umpama orang mengantuk disorongkan bantal, kami sangat-sangat terharu.

“Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan, saya harap Ketua Menteri juga sentiasa jaga kesihatan supaya dapat terus memimpin negeri Pulau Pinang ini,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : CHAN KOK KUAN