GEORGE TOWN – Seramai 35 pelajar dari Sekolah Menengah Agama Faiqiah Daimiah menyertai lawatan ke Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) dan Pusat Kecemerlangan Sains Pulau Pinang (PSC) anjuran Penggerak Komuni Muda (PEKA).
Pengurus PEKA, Mohammad Hazizi Padzil berkata, lawatan sambil belajar yang dianjurkan pada 19 November lalu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai bidang sains.
“PEKA menyedari bahawa berlaku penurunan terhadap pengambilan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kalangan pelajar pada masa ini.
“Walau bagaimanapun, kita menyedari hakikat bahawa empat daripada lima peluang pekerjaan baharu adalah datangnya daripada bidang-bidang tersebut.
“Justeru, PEKA mengambil inisiatif menganjurkan lawatan ini bagi memastikan para pelajar dapat merasai sendiri pengalaman berada berkaitan STEM di agensi-agensi terlibat,” ujarnya dalam kenyataan.
Salah seorang pelajar, Mohammad Zaini Sulaiman berkata, lawatan tersebut memberi peluang untuknya melihat dengan lebih dekat teknologi-teknologi yang ada di PSDC dan PSC.
“Kami amat tertarik dengan lawatan ini kerana dapat melihat secara dekat teknologi-teknologi yang ada di agensi-agensi ini,” katanya.
Bagi Noraini Othman pula mahu lawatan tersebut diadakan dalam tempoh lebih lama.
“Kami mahukan lebih banyak masa untuk jalankan lawatan sebegini,” ujarnya ringkas.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : PEKA