GEORGE TOWN – Lawatan wakil Kolej Islam Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang ke luar negara sebelum ini adalah wajar memandangkan institusi pendidikan tersebut adalah milik penuh agensi negeri, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata lawatan wakil KITAB ke luar negara dengan menggunakan peruntukan daripada sumber Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga adalah demi memenuhi kriteria pengantarabangsaan yang digariskan dalam Sistem Penilaian Kualiti Malaysia (MyQUEST) sendiri.
Penjelasan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti itu sekali gus menjawab pertikaian Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua.
“Salah satu cabang kriteria yang diperlukan MyQUEST adalah pengantarabangsaan.
“Sebagai Institusi Pengajian Tinggi Swasta, KITAB perlu memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam MyQUEST di bawah pantauan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT).
“Sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh (ADUN) Sungai Dua, segala kos pengurusan dan pengoperasian KITAB adalah dari peruntukan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“Justeru lawatan ke luar negara bagi mengadakan kerjasama strategik akademik juga dari peruntukan tahunan yang diperuntukkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang,” jelasnya dalam sesi ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 2 Jun 2022.
Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin turut memberitahu bahawa KITAB ketika ini mengadakan kerjasama dengan Universiti al-Azhar di Mesir dan World Islamic Sciences Education (WISE) di Amman, Jordan bagi mendapatkan pengiktirafan berwajib daripada kedua-dua pihak universiti terkemuka tersebut.
Ini menurutnya, adalah penting untuk lepasan diploma KITAB untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda secara pemindahan kredit.
Untuk rekod, pendaftaran KITAB sebagai Institusi Pengajian Tinggi adalah tertakluk pada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) di bawah seliaan KPT.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD