Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
BAYAN LEPAS – Bagi mengenalpasti kemajuan projek perumahan kos rendah di Sungai Ara, mantan Exco Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai sebelum ini telah mengadakan lawatan susulan ke Taman Perumahan i-Park (hadapan Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana) di sini.
Sebelum ini, lawatan pertama adalah pada 19 April tahun lalu. Mengulas lanjut berhubung projek tersebut, Hon Wai memberitahu bahawa pihak pemaju Ideal Property Sdn. Bhd. telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membina rumah mampu milik melebihi kuota sepatutnya.
“Mengikut garis panduan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), bagi projek skala besar, pemaju adalah diwajibkan membina 30 peratus rumah mampu milik dalam pembangunan i-Park berkenaan.
“Namun, mereka (pemaju) dengan murah hati telah membina lebih dari jumlah itu. Jumlah 30 peratus itu hanya bersamaan dengan 464 unit, tetapi mereka (pemaju) menambah lagi dengan menjadikan jumlah keseluruhan adalah 534 unit (41 peratus) berharga RM42,000,” ujar beliau pada sidang media di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menyelar tindakan pihak yang menyatakan senarai pemohon rumah mampu milik di Pulau Pinang mencecah sebanyak 160,000 pemohonan.
“Itu sebenarnya adalah senarai lama sejak kerajaan lama mentadbir.
“Sebenarnya, kerajaan lama tidak pernah mengemaskini senarai berkenaan sehingga memperlihatkan jumlah keseluruhan adalah berlipat ganda. Umumnya, angka tersebut adalah tidak logik bagi Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang pada ketika itu baru mentadbir selama dua tahun,’’ tegas Hon Wai.