Lebar jalan urai kesesakan

AIR ITAM – Sepanjang 700 meter jalan di Lorong Batu Lanchang menghala ke persimpangan Jalan Masjid Negeri akan dilebarkan bagi mengurai kesesakan yang kerap kali berlaku di kawasan tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai, pengimplementasian projek tersebut bakal memastikan kenderaan yang ingin belok ke kiri (menghala Persiaran Gurney) dan ke kanan (menghala Bayan Lepas) dapat menggunakan lorong khas masingmasing.

“Kita akan lebarkan jalan di bahagian kiri yang mana inisiatif itu bakal membolehkan kenderaan yang menghala ke Persiaran Gurney dapat terus belok tanpa perlu menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

“Bagi memberi laluan kepada projek ini, Kerajaan Negeri telah menyumbang sebahagian tanah di kawasan kediaman rasmi Pegawai
Daerah Timur Laut,’’ katanya ketika lawatan ke tapak projek tersebut di sini baru-baru ini.

Hon Wai memberitahu, kawasan tersebut mempunyai kadar lalu lalang kenderaan tinggi pada waktu puncak iaitu sebanyak 2,300 unit kenderaan penumpang (ukp) sejam pada waktu puncak pagi dan waktu puncak sebelah petang (1,900 ukp).

“Projek yang menelan belanja RM3,530,762.50 dan dibiayai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ini dilihat perlu dilaksanakan ekoran terdapat lima sekolah yang saling berhampiran di sini.

“Selain sekolah, sebagaimana maklum, Air Itam merupakan kawasan yang paling padat di Pulau Pinang dan kebanyakan penduduk menggunakan lalulan ini untuk keluar ke tempat kerja yang terletak di Bayan Lepas,” ujarnya.

Nyata beliau lanjut, jalan sedia ada berkelebaran 10.8 meter akan dilebarkan kepada 12 meter.

“Pada bahagian tertentu, jalan akan dilebarkan kepada 12.5 meter bagi menyediakan satu lorong khas untuk kenderaan yang ingin terus susur ke kiri,” jelas Hon Wai.

Projek berkenaan dilaksanakan kontraktor, MK Bashah (PG) Sdn. Bhd. dan disasarkan siap pada 18 Julai ini.