Lebih 100 sertai Program Pendidikan ‘Celik Strata’ MBSP

Admin
e45bf053 f898 4937 aa30 6d48a5af88cb MAT Nasir Hassan (tengah) bersama-sama dua lain dalam Majlis Perasmian Program Pendidikan Kesedaran Komuniti ‘Celik Strata’ anjuran Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth pada 28 Julai 2024.

BAGAN DALAM – Lebih 100 pemegang taruh menyertai Program Pendidikan Kesedaran Komuniti ‘Celik Strata’ anjuran Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth pada 28 Julai 2024.

Pengarah Penilaian dan Pengurusan Harta MBSP, Mat Nasir Hassan yang merasmikan program tersebut, bagi pihak pemangku Setiausaha Bandarayanya Shahrulnizad Abdul Razak.

Semasa berucap, beliau berharap program ‘Celik Strata’ tersebut dapat memberi pendedahan tentang tatacara pengurusan dan pentadbiran yang betul mengikut Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Kita (MBSP) juga berharap program ‘Celik Strata’ ini dapat membantu para pemegang taruh bagi mewujudkan pengurusan lebih baik (yang mana) wujud keseragaman pematuhan undang-undang dan dasar berkaitan penyelenggaraan dan pengurusan mengikut Akta 757 ini.

“Selain itu, kita (MBSP) juga berharap program ini dapat memberi pemahaman kepada pihak berkaitan untuk mentadbir dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan selesa serta selamat didiami,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada ‘pasukan’ Pengarah COB MBSP, Sr. Zulhisyam Abdul atas kejayaan menganjurkan program tersebut.

 

62e285bf e43b 446c ae72 6b5417122bab
BARISAN pemimpin MBSP merakamkan gambar dengan sekalian peserta bengkel selama sehari di sini pada pagi tadi.

Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai kawasan pentadbiran paling besar di negara ini, beliau memberitahu bahawa COB MBSP memerlukan partisipasi semua pemegang taruh bagi meningkatkan kesejahteraan kawasan kediaman jenis berstrata.

“Berdasarkan rekod Jabatan Pesuruhjaya Bangunan MBSP, terdapat sebanyak 1,160 skim pemajuan berstrata bagi seluruh Seberang Perai yang terdiri daripada 456 skim di Seberang Perai Utara, 599 skim di Seberang Perai Tengah dan 105 skim di Seberang Perai Selatan.

“Daripada jumlah berkenaan, 152 skim adalah berstatus JMB, 351 skim berstatus MC dan 642 masih belum menubuhkan JMB (Badan Pengurusan Bersama) atau MC (Perbadanan Pengurusan) yang terdiri dari 59 skim bagi 11 petak ke atas dan 583 skim bagi 10 petak ke bawah,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP yang turut mengambil bahagian dalam memberi taklimat mengenai penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa di punca mulai 1 Julai lepas termasuk skim perumahan berstrata di bahagian Seberang Perai.

Buletin Mutiara difahamkan bengkel pendidikan selama sehari sejak awal pagi tadi turut mendedahkan peranan, fungsi serta bidang kuasa Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS).

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengalu-alukan semua pemegang taruh seperti JMB, MC, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Persatuan Penduduk supaya segera memohon Geran Peruntukan Untuk Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTI MADANI) dengan nilai maksimum RM100,000 sebelum 30 September 2024.

“Komuniti yang masih sah berdaftar pelantikannya atau penubuhannya boleh memohon geran ini semaksimum RM100,000.00 melalui lima sektor utama iaitu pertanian dan makanan; herba dan kesihatan; jahitan dan kraftangan; pelancongan dan hospitaliti; dan aktiviti hijau dan kitar semula,” katanya sambil memberitahu bahawa penjelasan terperinci boleh diperoleh daripada Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Selain Zulhisyam, turut serta adalah Pengerusi Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan empat Ahli Majlis MBPP, Nurmahani Mohamad, V.A.S. Ponnudurai; David Ng Yee Siang; dan Chong Wei Hoong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB