Lebih 1,000 bakul makanan diagihkan di 9 skim perumahan awam kos rendah, PPR

PERMATANG PAUH – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, lebih 1,000 unit bakul makanan bernilai RM55,000 diagihkan di sembilan skim perumahan awam kos rendah di negeri ini.

 

Menurutnya, pemberian bakul makanan tersebut merupakan hasil inisiatif Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi membantu golongan yang terkesan dari segi ekonomi semasa penularan pandemik COVID-19 termasuk kumpulan rentan.

 

“Pada 18 Oktober 2021 lalu, program pemberian bakul makanan ini telah diadakan di Rumah Pangsa Taman Free School di Datuk Keramat.

 

“(Dan) hari ini, sebanyak 190 bakul makanan bakal diagihkan kepada golongan sasar di sini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu pada Program Pemberian Bakul Makanan di Rumah Pangsa Ampang Jajar dekat sini pada 26 Oktober 2021.

 

JAGDEEP Singh Deo (barisan hadapan, dua dari kanan) bersama-sama sebahagian penerima Program Pemberian Bakul Makanan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang dekat sini.

 

Hadir sama, Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

 

Sebelum itu, Jagdeep memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh LPNPP kerana cakna akan situasi semasa.

 

“Di Pulau Pinang, selain Rumah Pangsa Ampang Jajar, terdapat lapan lagi skim di bawah Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) dan skim Projek Perumahan Rakyat (PPR).

 

“Kadar penyewaan di RSKN dan PPR antara RM40 hingga 100 sebulan dengan kadar bayaran penyelenggaraan antara RM20 hingga RM72 sebulan.

 

Kerajaan Negeri kini sedang meneliti kaedah penawaran unit-unit di RSKN dan PPR di negeri ini yang mana selain sewa, kita (Kerajaan Negeri) juga akan menawarkan unit kediaman melalui kaedah sewa beli (RTO).

 

“Misalnya di Desa Wawasan yang mana projek rintis telah dilaksanakan dan kaedah RTO diperkenalkan.

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

“Saya percaya pihak LPNPP akan menelitinya dan membawa perkara ini kepada pihak Kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT),” jelasnya.

 

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pernah mengemukakan cadangan pembangunan PPR pada 2017 dan 2018 melibatkan lima daerah di negeri ini. Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyatakan komitmen untuk menyenaraikan dua projek PPR dalam Rancangan Malaysia Ke-12, manakala baki tiga yang lain akan dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan akan datang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR