GEORGE TOWN – Kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar melabuhkan tirai semalam menyaksikan pasukan Argentina menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 keatas Perancis semalam.
Perlawanan pada masa sebenar 90minit dan masa tambahan 30minit, berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 3-3.
Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir sebagai tetamu kehormat meluangkan masa menonton perlawanan bersama rakyat jelata.
Bersempena siaran langsung perlawanan akhir Bolasepak Piala Dunia 2022, lebih daripada 10,000 penonton yang hadir menyokong pasukan kegemaran dekat Esplanade, Padang Kota Lama.
Siaran langsung anjuran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) ini sememangnya acara kemuncak yang dinantikan para pengunjung.
Bertemakan “Better Together – Lagi Ramai Lagi Syok”, siaran langsung Piala Dunia 2022 ini turut diserikan dengan kehadiran bekas pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri.
Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua dan Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Mohd. Suhaily Mohd. Zain serta barisan tetamu kehormat yang lain.
Majlis diserikan lagi dengan kemunculan artis popular seperti Syura dan Lan Solo serta kugiran dari Polis Diraja Malaysian (PDRM) Pulau Pinang turut memeriahkan lagi acara siaran langsung berkenaan.
Bukan itu sahaja, penonton turut memenangi cabutan bertuah serta mendapat hadiah-hadiah menarik sambil menikmati pertunjukan bunga api.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT