Lebih 250 sertai Kejohanan Sirkit Woodball Kebangsaan ke-18 2024

Admin
whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.06 (3)

BERTAM – Lebih 250 peserta direkodkan mengambil bahagian dalam Kejohanan Woodball Kebangsaan Ke-18 2024 yang berlangsung dekat Vision Park, di sini selama empat hari bermula 6 Jun lalu.

Penganjuran edisi kali ini yang menghimpunkan para atlet woodball dari seluruh negeri telah menyaksikan Pulau Pinang muncul sebagai tuan rumah bagi kejohanan tersebut buat kali kedua.

Perasmian penutup kejohanan telah disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen di sini semalam.

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.06 (2)

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.06 (1)

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.06

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.05 (2)

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.05 (1)

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.05

whatsapp image 2024 06 09 at 16.25.07

Semasa berucap, Zi Sen berkata sukan woodball semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia berdasarkan jumlah penyertaan yang diterima sepanjang kejohanan berlangsung.

“Saya yakin, melalui usaha yang berterusan, kita (Pulau Pinang) akan dapat melahirkan lebih ramai atlet woodball yang berkaliber dan mampu mengharumkan nama negara pada peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini.

“Anda semua adalah pemenang, tidak kira apa keputusan yang dicapai kerana keberanian anda untuk mengambil bahagian dan memberikan yang terbaik adalah sesuatu yang patut dibanggakan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar; Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA) , Elaine Tan; wakil kepada Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara, Sazali Mohamad Noor dan wakil kepada Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Mohd. Fadil Mohamad.

Timbalan Pengarah (Pengurusan), Kolej Komuniti Kepala Batas, Meor Hamzah Ahmed Zawawi; Timbalan Presiden Persatuan Woodball Pulau Pinang, Jamaludin Yaacob; Naib Presiden Persatuan Woodball Pulau Pinang, Nor Azam Ariffin; Pengarah Kejohanan Woodball Kebangsaan 2024, Zulkarnain Mohamed Shaharuddin juga hadir.

Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, penganjuran kejohanan tersebut juga adalah selari dengan visi Penang2030 yang menekankan pembangunan sosial dan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

“Saya percaya dengan adanya acara sukan seperti ini, kita dapat menggalakkan gaya hidup sihat, serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dan integrasi sosial dalam kalangan rakyat Pulau Pinang,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan kerjasama semua pihak khususnya Persatuan Persatuan Woodball Pulau Pinang (PWPP), Pulau Pinang berpotensi menjadi tuan rumah bagi kejohanan woodball peringkat antarabangsa.

“Justeru, saya berharap agar kejohanan ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak kejayaan dalam penganjuran acara sukan ini di masa hadapan.

“Teruskan usaha untuk memajukan sukan woodball dan memastikan sukan ini terus berkembang di negeri kita,” katanya.

Pada kejohanan tersebut, pasukan Pulau Pinang muncul sebagai johan dalam beberapa kategori daripada 14 kategori yang dipertandingkan, antaranya beregu terbuka lelaki dan beregu remaja perempuan B21.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD