Lebih 3,200 hadir raikan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Seri Mutiara

d0f9b9fa ba38 4515 8d34 79caeaeeea17 TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kanan) bersama-sama Lim Siew Khim (kanan sekali) dan barisan pemimpin lain semasa melawat salah satu segmen interaktif kanak-kanak sempena berlangsungnya sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan Seri Mutiara di sini menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Buat julung kalinya Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang dianjurkan di perkarangan Seri Mutiara iaitu kediaman rasmi Yang Dipertuan Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor di sini pada 9 November 2024.

Mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, Kerajaan Negeri hari ini merakamkan penghargaan kepada TYT dan isteri kerana sudi membuka pintu kediaman rasmi mereka untuk penganjuran acara dengan penyertaan lebih 3,000 orang.

“Hari ini, di rumah TYT Tun, kita disertai kira-kira 3,200 peserta, termasuk lebih kurang melebihi 2,000 kanak-kanak.

“Kanak-kanak inilah yang akan menyertai permainan, kanak-kanak ini juga akan menghiburkan kita semua dengan persembahan pentas dan kanak-kanak ini jugalah yang akan membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencipta sejarah dengan mencatatkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara tersebut.

Berucap sebelum itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Zakaria Taib memberitahu bahawa acara pada kali ini telah menerima penyertaan guru dan dan pelajar dari 115 sekolah rendah, sekolah menengah, tadika, sekolah swasta, sekolah tunas bakti, pusat pemulihan dalam komuniti, taska dan pusat jagaan berdaftar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Zulkifli Long dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang turut sertai majlis tersebut.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Mohd Yussof Latiff.

Selain acara persembahan pentas, selama sehari di sini turut berlangsung sesi ceramah mengenai asas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan menggunakan mesin Automated External Defibrillator (AED), pameran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), penanaman pokok, bengkel hijau, ‘Marble Coaster Challenge’ serta bengkel fotografi, wau dan kecerdasan buatan (AI).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD