GEORGE TOWN – Lebih 5,000 penyertaan dalam kalangan penduduk lokal dan pengembara antarabangsa menyertai City Walk sejauh 7 kilometer (km) bersempena Hari Bandaraya di Jalan Padang Kota Lama pada awal pagi ini (1 Januari 2024).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapan perasmian antara lain menyifatkan City Walk 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai acara pembuka tirai tahun baharu.
“Acara ini merupakan pembuka tirai kepada setiap tahun baru yang kita nanti-nantikan serta raikan, dan kini menjadi sebuah tradisi kepada MBPP yang bukan sahaja melambangkan semangat perpaduan dan kebersamaan, malah juga menjadi sebuah aktiviti wajib bagi keluarga besar Pulau Pinang.
“Terbukti, acara seperti ini adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menrealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah mewujudkan sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara pelepasan peserta jalanan ria di perkarangan hadapan Dewan Bandaraya di sini tadi.
Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, sekalian penduduk negeri terutama yang tinggal serta bekerja di sekitar George Town seharusnya bangga dengan status bandar raya ini kerana ia kaya dengan warisan ketara serta warisan tak ketara yang pelbagai.
Oleh hal demikian, beliau menyeru semua pihak supaya terus menghargai kepelbagaian budaya penduduk lokal demi menyemarakkan semangat muhibah serta harmoni tanpa mengira kaum dan sebagainya.
“George Town adalah bandar raya kita, dan bandar raya ini penuh dengan nilai sejarah.
“Ketika perjalanan mengelilingi bandar raya sebentar lagi, kita akan melalui pelbagai mercu tanda di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
“Selain daripada menikmati keindahan persekitaran, marilah kita bersama-sama menghargai nilai sejarah serta warna-warni kepelbagaian budaya yang telah terpateri di tanah ini.
“Hakikatnya, nilai sejarah dan kepelbagaian budaya yang dikongsi serta ditoleransi di bandar ini telah membentukkan kita semua untuk menjadi sebuah komuniti yang berdaya tahan dan harmoni,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang yang diterajuinya senantiasa menggalakkan penduduk negeri riadah serta mengamalkan gaya hidup yang sihat, dengan menaik taraf infrastruktur awam berkaitan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri giat menyediakan infrastrutur baru dan menaik taraf kemudahan sedia ada seperti taman-taman poket di kawasan perumahan, gelanggang-gelanggang futsal dan bola keranjang serta trek jogging di taman-taman bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ulasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran kerana komited dalam memberi sokongan kepada program-program berkaitan tema gaya hidup sihat selama ini.
Berucap sebelum itu, Rajendran memberitahu bahawa penganjuran acara jalanan ria pada kali ini menerima penyertaan peserta paling tua berusia 82 tahun dan paling muda berusia setahun.
Mantan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan; ADUN Jawi merangkap Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam merangkap ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim serta Exco Belia, Sukan dan Kesihatan merangkap ADUN Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara ‘pembuka tirai tahun baharu 2024’ tersebut.
Selain Rajendran, hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong serta barisan Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.
Difahamkan, City Walk pada awal pagi ini dianjurkan bersempena Hari Bandaraya (City Day), yang mana George Town telah menerima status bandar daripada Queen Elizabeth II melalui Royal Charter, dan menjadi bandar yang pertama di Malaya pada 1 Januari 1957.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING