Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Demi memelihara serta memulihara kehijauan alam, seramai 640 Pandu Puteri dari seluruh negeri Pulau Pinang menyatakan ikrar sempena Majlis Pelancaran Kempen Girl Guides Go Green (4G).
Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Pulau Pinang (PGGA), Chan Kit Sin berkata, pertubuhannya mula bergiat aktif dalam aktiviti menjaga alam sekitar sejak lebih sedekad lalu lagi.
Pun begitu, katanya lagi, kebanyakan program yang dilaksanakan sebelum ini adalah secara bermusim serta tiada aktiviti susulan.
“Projek ini (4G) akan memberi penekanan pada aspek kemampanan sebagai teras utama dalam perjuangan menentang pemanasan global secara umum serta pencemaran (alam sekitar) di Pulau Pinang khususnya,” ujar beliau di ibu pejabat PGGA, di sini baru-baru ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Toh Puan Majimor Shariff, iaitu isteri kepada Yang DiPertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Pesuruhjaya Pandu Puteri Negara, Datin Seri Zalilah Mohd. Taib dan Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas) turut berucap pada majlis tersebut.
Turut berucap, tetamu, Costa Georgiadis selaku tuan rumah pada kempen ‘Gardening Australia’.
Hadir bersama pada majlis itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, dan Datin Seri Su Hashim (Presiden PGGA).
Selain menanam sayur-sayuran di sekitar ibu pejabat PGGA, Kit Sin berkata, pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memantau proses kempen kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
“Jawatankuasa ini juga akan menggunakan media elektronik untuk mengingatkan orang awam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar,” ujar beliau.
Sepanjang kempen itu dilaksanakan, aktiviti mengutip dan memproses sisa makanan melalui Unit Regen Bio menjadi salah satu fokus membabitkan aktivis Pandu Puteri.
Pandu Puteri turut jelajah serta melancarkan program ‘Eyes On You’ bagi merealisasikan kesedaran mampan bumi hijau.