Lebih banyak premis di Balik Pulau akan dilengkapi kemudahan internet

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited untuk memastikan seluruh kawasan di negeri ini dapat mencapai jaringan komunikasi yang optimum termasuk kawasan luar bandar khususnya di Balik Pulau.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, bagi tujuan itu Kerajaan Negeri akan memastikan lebih banyak premis di Balik Pulau dilengkapkan dengan kemudahan internet jalur lebar talian tetap selain bakal membina sebuah struktur telekomunikasi baharu.

“Sehingga kini, sebanyak 973 premis di kawasan Balik Pulau diliputi dengan jajaran internet jalur lebar talian tetap dan sebanyak 37 stesen pemancar telah dinaik taraf untuk menampung keperluan dan permintaan penduduk tempatan.

“Selain itu, sebanyak 1,676 buah premis di kawasan Balik Pulau akan diliputi dengan internet jalur lebar mudah alih pada masa akan datang.

“Inisiatif tersebut akan dilaksanakan melalui perancangan di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang (PCMP),” katanya semasa sesi soalan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini pagi tadi.

Zairil berkata, Kerajaan Negeri juga akan menjalinkan kerjasama dengan semua pemegang taruh di negeri ini bagi memantau keperluan menambah baik liputan komunikasi oleh syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi.

“Ia penting bagi meningkatkan usaha untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan masyarakat selaras dengan pembangunan digital di kawasan-kawasan awam seperti pelaksanaan inisiatif tanpa tunai, bekerja dari rumah serta proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR),” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD