Lepas benih ikan galak pembiakan habitat sungai

O l e h : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI DUA – Syarikat pembekelan peralatan perabot, Delta Business Solutions Sdn. Bhd . ( Delta ) bersama – sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Georgetown sekali lagi menganjurkan Projek Pelepasan Benih Ikan 2013 ke Sungai Perai dengan sokongan Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pihaknya menghargai inisiatif kedua-dua pihak itu dalam mengumpulkan dana demi projek pemuliharaan alam sekitar termasuk usaha memulihara habitat di sungai berkenaan.

“Saya difahamkan, ini adalah projek fasa kedua selepas fasa pertama Delta Eco Night Run 2013 dianjurkan pada 30 Ogos lalu.

“Saya ingin merakamkan penghargaan atas projek CSR (tanggungjawab sosial korporat) yang dilakukan oleh Delta,” ujar Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis perasmian projek tersebut di Pengkalan Machang di sini baru-baru ini.

Hampir 100 sukarelawan dari Delta menyertai projek yang diadakan secara serentak dengan Hari Belia & Komuniti Setempat di sini.

Nelayan dan pengusaha restoran makanan laut setempat turut menyertai pelancaran projek itu.

Mereka bersama-sama Afif melepaskan anak benih udang galah dan ikan lampam demi menggalakkan pembiakan habitat di Sungai Perai tersebut.