Lepasi sasaran, kutipan zakat fitrah ZPP catat peningkatan

Admin

GEORGE TOWN – Jumlah kutipan zakat di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan kepada RM6,020,413.68 pada tahun 2021 sekali gus melepasi sasaran RM6 juta yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata, jumlah kutipan tersebut didorong oleh peratusan pembayar zakat yang meningkat sebanyak 2.44 peratus iaitu 18,474 orang.

“Keseluruhan pembayar zakat tahun ini adalah seramai 775,422 berbanding tahun 2020 hanya 756,948 pembayar.

“Pembayaran zakat fitrah ini banyak disumbangkan melalui kutipan secara konvensional iaitu (kutipan) oleh amil, manakala pembayaran secara dalam talian (online) adalah sedikit merosot,” ujarnya pada sidang media melalui telesidang sebentar tadi.

Sebagai rekod, kutipan zakat fitrah pada tahun 2020 adalah sebanyak RM5,560,586.81.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti.

Pada sidang media sama, Ahmad Zakiyuddin sebelum itu mengumumkan peruntukan sebanyak RM208,000 yang akan diagihkan kepada setiap masjid kariah di seluruh negeri Pulau Pinang.

Jelasnya, pemberian sumbangan RM1,000 bagi setiap masjid kariah tersebut adalah lantaran kesan signifikan kepada tabung-tabung masjid ekoran jumlah kehadiran Jemaah yang dihadkan baru-baru ini dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“ZPP amat menyedari situasi sukar pada hari ini telah memberi kesan yang agak signifikan kepada kutipan tabung-tabung masjid, tuntas kita telah bersetuju untuk memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap masjid kariah di negeri ini.

“Diharap sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak kutipan tabung masjid bagi menampung kegunaan bulanan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Serentak itu, melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan (TBK) ZPP sejumlah RM300,000 telah diluluskan untuk membantu masyarakat Palestin dengan sumbangan akan disalurkan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif.

Manakala, peruntukan kedua melibatkan sejumlah RM38,000 akan diagihkan kepada masyarakat Islam di negara-negara lain seperti Thailand, Laos, Filipina dan masyarakat Rohingya di Pulau Pinang khususnya.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF