GEORGE TOWN – Susulan kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling pada petang Isnin lalu, dua Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah terpaksa dihentikan tugas kerana kadar kekeruhan air mentah yang tinggi dan menjejaskan beberapa kawasan termasuk di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, beliau menerima makluman berhubung perkara tersebut dan LRA Sungai Dua juga menghadapi isu sama yang mana loji terpaksa dihentikan tugas selama empat jam bermula jam 8 pagi tadi kerana air mentah dari Sungai Muda terlalu keruh untuk dirawat dengan selamat.
Walau bagaimanapun, melalui makluman awal, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) telah melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang supaya sampai kepada pengguna.
“(Dan) PBAPP juga telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan air mentah kembali pulih (kepada pengguna) sementara keadaan di Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan air di negeri ini pulih,” ujarnya pada sidang media sejurus majlis menandatangani perjanjian bagi penganjuran 45th International Advertising Association (IAA) World Congress 2024 di Komtar pada 6 Julai 2022.
Menjawab pertanyaan daripada pemberita berhubung kapasiti Empangan Mengkuang, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam senario terburuk, empangan tersebut mampu menampung bekalan air selama 100 hari.
“Senario terburuk bermakna semua empangan di Pulau Pinang tidak berfungsi dan tidak ada alternatif lain, maka Empangan Mengkuang mampu bertahan selama 100 hari.
Empangan Mengkuang merupakan empangan strategik untuk menyimpan bekalan air mentah pada saat-saat luar biasa atau berlakunya krisis.
“Jadi, saya amat berharap agar keadaan di Sungai Muda dapat dipulihkan (sebelum dapat disalurkan ke LRA di negeri ini),” ulasnya lanjut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa menyatakan bahawa pihaknya telah menggerakkan kerja-kerja kejuruteraan hasil tindak balas kecemasan di LRA Sungai Dua, iaitu loji rawatan terbesar dan terpenting di Pulau Pinang.
“Pada jam 6 pagi, kadar kekeruhan air mentah yang dipam di Sungai Muda melalui terusan Sungai Dua ke loji berkaitan direkodkan pada kadar 3,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit, digunakan untuk mengukur kehadiran zarah atau jirim terampai dalam air).
Kadar tersebut adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi kerana kekeruhan normal air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.
“(Dan) pada jam 8 pagi, semua operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua telah dihentikan tugas buat sementara waktu bagi mengelakkan pengeluaran air terawat yang tidak selamat dan tidak mematuhi parameter Kawalan Kualiti Air Minuman yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sebagai langkah pemulihan, Jaseni memaklumkan bahawa PBAPP segera mengurangkan pengabstarakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah yang disimpan di Empangan Mengkuang untuk mengurangkan kekeruhan di terusan Sungai Dua.
“Pada jam 12 tengah hari, apabila kekeruhan air mentah yang memasuki loji berada pada tahap yang boleh diterima, PBAPP telah memulakan semula operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua secara berperingkat.
Kesan daripada henti tugas sementara di LRA Sungai Dua, telah menyebabkan tekanan air di semua saluran paip utama di Seberang Perai dan Pulau Pinang menurun.
“Hal ini demikian kerana, LRA Sungai Dua mengeluarkan lebih 80 peratus air terawat yang dibekalkan ke seluruh negeri setiap hari,” jelasnya.
Dalam kenyataan sama, PBAPP turut memohon maaf atas kesulitan sementara yang berlaku.
“PBAPP menerima pertanyaan dan aduan daripada pengguna air termasuk pengguna industri.
Walau bagaimanapun, semua pengguna terjejas perlu tahu bahawa peningkatan mendadak dalam kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah faktor luar kawalan PBAPP.
“Namun begitu, PBAPP telah bertindak balas dan memberi respons terhadap situasi krisis ini pada masa tepat dan sesuai serta menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari pada 7 Julai 2022 (Khamis),” ulasnya.
Jaseni menyatakan bahawa PBAPP akan terus memantau kadar kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda secara berterusan dan akan memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pengeluaran air terawat yang selamat dan berterusan di Pulau Pinang,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI