Lesen ternak lembu mudahkan penternak mohon bantuan kerajaan

Admin

GEORGE TOWN – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran mengalu-alukan penternak-penternak lembu di kawasan pulau untuk segera memohon lesen daripada pihak Majlis.

 

 

Katanya, permohonan lesen ternakan tersebut akan memudahkan penternak untuk mendapatkan kemudahan subsidi dan bantuan-bantuan yang disediakan pada peringkat kerajaan.

 

 

“Tindakan melesenkan penternakan lembu ini membolehkan kita (MBPP) dapatkan tanah yang sesuai untuk menjalankan ternakan ini selain memenuhi kehendak MBPP supaya kandang dibina dengan lebih selamat dan bersih.

 

 

“Daripada lebih 40 penternak, 15 penternak sekarang dalam pertimbangan dan mereka sedang berusaha untuk memenuhi kehendak MBPP untuk memohon lesen.

 

 

“Sementara itu, tiga daripada penternak pula telah mohon lesen dan pada 18 Julai lalu, kita telah keluarkan lesen kepada salah seorang pemohon iaitu A. Halim Yusof dari Balik Pulau.

 

 

 

“Ini sebagai satu langkah permulaan bagi melesenkan semua kandang dan untuk memastikan kes-kes lembu berkeliaran dapat ditangani secara berterusan serta berperingkat-peringkat,” ujar Rajendran dalam sidang media mengenai Pengeluaran Lesen Premis Perniagaan Untuk Aktiviti Ternakan Di Bawah Pentadbiran MBPP di sini hari ini.

 

 

Turut hadir, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBPP, M. Bawani.

 

 

Justeru, maklum Rajendran, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Veterinar Pulau Pinang mahu tindakan lebih proaktif dilaksanakan dalam melesenkan penternak-penternak lembu.

 

 

Difahamkan lesen bagi ternakan lembu bermula daripada harga RM240 setahun (minimum) bagi keluasan tanah bawah 100 meter persegi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ALISSALA THIAN