GEORGE TOWN – Program cabutan bertuah bagi peringkat akhir Liga Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang diadakan pada bulan Oktober dan November nanti menawarkan hadiah lumayan berupa empat buah motosikal dan dua telefon pintar kepada pemenang.
Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap para pemain yang menyertai musim saingan Divisi Satu dan Divisi Dua Liga FAP serta Liga FAP Bawah 19 Tahun dapat menyertai program tersebut nanti.
“Inisiatif ini adalah sebagai suatu tarikan di samping menggalakkan penyertaan daripada para peserta pertandingan.
“Justeru, saya ingin mengajak para pemain untuk merebut peluang yang diumumkan kerana pemain yang berdaftar sahaja layak serta berpeluang memenangi hadiah-hadiah cabutan (bertuah) yang amat menarik ini,” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 5 September 2022.
Selain itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi mencadangkan kepada penganjur supaya para penonton yang memiliki tiket perlawanan (kini percuma) turut layak menyertai acara cabutan bertuah tersebut yang mana perlawanan akhir bakal diadakan di Stadium Bandaraya.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan kepada sakalian penaja program cabutan bertuah tersebut.
Dato’ Syed Mohamad Sed Myrtaza menaja hadiah cabutan bertuah berupa dua unit motosikal jenama Wmoto kepada Divisi Satu Liga FAP, begitu juga Datuk Tom Khoo Kay Seong menaja dua buah Wmoto untuk peserta Liga FAP Bawah 19 Tahun.
Serentak itu, syarikat telefomunikasi redONE NEtwork Sdn. Bhd. masing-masing menaja satu unit telefon pintar jenama MI 11 Lite 5G NE dan iPhone 13.
Bercakap pada sidang media sama, Timbalan Pengerusi FAP, Lau Keng Ee memberitahu bahawa sambutan sepanjang musim saingan liga-liga berkaitan kini begitu menggalakkan mungkin kerana sudah lima tahun tidak diadakan temasya seumpama itu sebelum ini.
Selain Syed Mohamed dan Kay Seong, Naib Pengerusi FAP, L. Katherisan, Pengurus Pasukan FAP, Mohd. Faizul Abdul Rashid dan Pengurus Wilayah Utara redONE Network Sdn. Bhd., Alex Leong turut sertai sidang media berkenaan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN