GEORGE TOWN – Polisi perumahan negara Jerman yang memberi peluang kepada kira-kira 50 peratus rakyat menyewa unit kediaman selesa yang disediakan oleh Kerajaan, kerana mereka tidak mampu membeli rumah sendiri, wajar dipertimbang untuk dilaksanakan di Pulau Pinang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Ong Khan Lee berkata bahawa mengikut faktor “median multiple” kemampuan sesebuah keluarga dengan pendapatan tunggal dengan gaji minima RM1,200 atau RM14,400 setahun hanya mampu membeli rumah yang berharga tidak melebihi RM43,200.
“Untuk golongan rakyat ini, saya mencadangkan supaya kerajaan melipat-gandakan Perumahan Awam khas untuk tujuan sewa sahaja yang mana kos menyewa tidak melebihi 10 peratus daripada gaji minima,” jelasnya ketika membahaskan Belanjawan 2020 Pulau Pinang dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 5 November 2019.
Pada 1 November lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika membentangkan belanjawan antara lain mengumumkan Kerajaan Negeri sedang mengkaji inisiatif baharu perumahan, selain meluaskan pembekalan Rumah Mampu Milik (RMM), terutama bagi golongan B40 dan M40 demi mencapai 180,000 unit sasaran RMM, seperti digariskan dalam Penang2030.
“Sehingga kini, sebanyak 29,959 unit telah siap, 23,985 unit dalam pembinaan manakala 48,391 unit kini dalam perancangan.
“Justeru, tambahan 77,665 unit lagi akan diusahakan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri, melalui kerjasama pihak swasta, syarikat milik kerajaan dan Kerajaan Persekutuan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.
Khan Lee memberitahu bahawa beliau menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri dalam membekalkan RMM, “tetapi daripada rekomendasi World Bank, United Nations, kemampuan memiliki rumah tidak harus melebihi 3 kali ganda pendapatan isi rumah.”
Tambahnya, Kebun Bunga meliputi sembilan blok Perumahan Awam Padang Tembak, dan beliau begitu memahami masalah-masalah di luar jangka yang sering kali berlaku.
“Pendapatan rendah menyebabkan keadaan kewangan yang tidak stabil terutamanya sekiranya pencari nafkah tunggal jatuh sakit, terlibat dengan kemalangan jalan raya ataupun meninggal dunia secara tiba-tiba.
“Kita boleh mengambil iktibar daripada model atau polisi perumahan negara Jerman yang kita boleh jadikan sebagai contoh yang baik dan sesuai diguna pakai bukan sahaja di Pulau Pinang.
“Dalam konteks negeri kita, Kerajaan Negeri boleh menjadi pemilik hartanah dan juga menguruskan hartanah tersebut seperti yang diamalkan di PPR Padang Tembak.
“Sekurang-kurangnya, dengan adanya mekanisme untuk mengawal harga pasaran rumah sewa, kadar inflasi turut dapat dikawal di samping dapat mengurang atau mengekang aktiviti spekulasi hartanah,” katanya.
Khan Lee dalam pada itu turut meminta Kerajaan Negeri meneliti kelemahan pada polisi perumahan sedia ada seperti kenaan caj tambahan oleh pemaju kepada pembeli untuk tujuan renovasi rumah dan pakej parkir, sehingga mengakibatkan harga kos sederhana rendah melambung sehingga lebih RM100,000 seunit.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING