GEORGE TOWN – Langkah mewujudkan Ekonomi Kreatif sebagai portfolio baharu Exco Kerajaan Negeri diharap dapat merangsang lagi pendapatan isi rumah rakyat yang berkaitan industri warisan, seni dan budaya di Pulau Pinang.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata demikian ketika sesi ucapan penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 16 Oktober 2020.
“Industri kreatif kini menjadi industri yang berkembang pesat di peringkat dunia, dengan pendapatan tahunan sebanyak USD2,250,000 dan telah mencapai lebih USD250 bilion bagi nilai eksport.
“Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pasukan Kerja Ekonomi Kreatif Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Menurutnya, dalam proposal berjudul ‘Re-shaping Cultural Policies’ yang diterbitkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2018 antara lain melaporkan bahawa industri ekonomi kreatif telah menyumbang 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat dunia.
Selain itu, menurutnya lagi, industri ekonomi kreatif juga telah mencipta 30 juta peluang pekerjaan baharu di seluruh dunia.
Justeru, beliau berharap perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Daerah Seni Pulau Pinang (PAD) mampu menjana perkembangan industri seni dan budaya lokal.
Dalam pada itu, beliau turut memberi respons pada isi yang dibangkitkan oleh ADUN Permatang Berangan, Nur Hafizah Othman mengenai cadangan membangunkan sektor pelancongan desa seperti mewujudkan River Cruise di Sungai Lebuh Banting.
“Saya berharap supaya penduduk tempatan akan dapat merasai hasil pembangunan sektor pelancongan dan sektor ekonomi kreatif turut menikmati program-program pelancongan yang diadakan di Pulau Pinang,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Soon Hin turut menyatakan komitmen untuk mempromosi lagi kawasan pelancongan desa sedia ada seperti Pasaran Bisik Kuala Muda, Jeti Permatang Bendahari, Empangan Sungai Muda, Jambatan Merdeka, Pantai Kamloon dan Jambatan keretapi Pinang Tunggal.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD