Lima atlet sumbang pingat Sukan Komanwel terima insentif khas Kerajaan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Lima atlet kelahiran Pulau Pinang yang menyumbang pingat dalam temasya Sukan Komanwel Ke-22 di Birmingham, United Kingdom baru-baru ini menerima Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) bernilai RM23,500.

Mereka ialah Chan Peng Soon, Cheah Yee See dan Goh Jin Wei yang memenangi pingat emas dalam acara Badminton Berpasukan Campuran dan layak menerima insentif khas masing-masing berjumlah RM4,500.

Ketua Menteri menyerahkan cek kepada atlet-atlet badminton yang memenangi pingat emas bagi acara Baminton Berpasukan Campuran pada majlis khas yang diadakan sebentar tadi.

Dua lagi atlet ialah Azlina Arshad yang memenangi pingat perak dalam acara Trio Boling Padang (RM4,000) serta pemenang pingat gangsa bagi acara Judo Kategori 73 kilogram Lelaki, Amir Daniel Abdul Majeed (RM6,000).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemberian insentif khas itu adalah untuk meraikan pencapaian cemerlang para atlet negeri Pulau Pinang dalam arena sukan pada peringkat antarabangsa.

“Kita turut berbangga dengan pencapaian atlet judo iaitu Saudara Amir Daniel Abdul Majeed yang mencatatkan sejarah baru apabila muncul sebagai atlet pertama negara memenangi pingat bagi acara berkaitan di temasya Sukan Komanwel.

“Umumnya, pencapaian ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program-program sukan pada peringkat akar umbi telah berjaya menyemai bakat-bakat baru untuk negeri Pulau Pinang.

“Ini termasuklah program Sukan Untuk Semua dan skim-skim galakan akademik menerusi Penang Athlete Career & Education (PACE) serta ‘Penang Junior Coaches’,” katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan SKIMAS kepada atlet-atlet berkaitan dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Pemenang pingat gangsa sukan judo menerima cek daripada Ketua Menteri.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang, Datuk Kah Kau Kiak serta wakil-wakil persatuan sukan terlibat.

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata, selain mengasah bakat-bakat baru, Kerajaan Negeri juga melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memartabatkan bidang sukan di negeri ini.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.6 juta pada tahun ini untuk kerja-kerja pembinaan baru serta menaik taraf dan membaik pulih kemudahan-kemudahan sukan di seluruh negeri.

“Antaranya adalah lima gelanggang sepak takraw, laluan joging (2), gelanggang futsal (2), gelanggang bola keranjang (1), gelanggang bola tampar (1), padang awam (2) dan sebuah gelanggang sepak raga tuju.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM8.8 juta bagi membina Nibong Tebal Arena yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2023 selain Stadium Mini Bola Sepak Permatang Rawa yang telah siap dibina dengan kos RM3.5 juta,” jelas beliau lagi.

Terdahulu, kontinjen negara berjaya membawa pulau sebanyak tujuh pingat emas, pingat perak (8) dan pingat gangga (8) pada temasya Sukan Komanwel yang berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, atlet Pulau Pinang berjaya menyumbang keseluruhan sebanyak lima pingat iaitu emas (3), perak (1) dan gangsa (1).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI